Malaysia Dateline

Abang Ahmad Kerdee pangku tugas SUA AMANAH

Timbalan Setiausaha Agung AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus memangku jawatan Setiausaha Agung (SUA) parti ekoran penyandangnya, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas pengsan semalam.

Abang Ahmad Kerdee memberitahu keputusan tersebut dibuat atas arahan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang menghubunginya malam tadi.

Beliau berkata, Mohamad mengingatkannya tentang banyak tugas perlu dilaksanakan melibatkan perjalanan organisasi, staf dan konvensyen parti yang dijadualkan Disember depan.

“Ini merupakan kali kedua saya memangku tugas YB Tuan Haji Anuar Tahir selaku Setiausaha Agung.

“Kali pertama pada tahun lepas (2018) sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, selama lebih kurang 60 hari juga tempoh pemangkuan,” ujarnya dipetik dari hantaran di Facebook¬†miliknya.

Sehubungan itu, Abang Ahmad Kerdee yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) memohon doa dan bantuan rakan-rakan atas tanggungjawab yang digalas.

“Saya akui tugas dan amanah ini amat berat, lebih-lebih lagi dengan situasi sekarang. Mohon doa dan bantuan teman-teman,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Mohd Anuar yang merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya setakat malam ini berada dalam keadaan stabil dan dinasihatkan doktor supaya mendapatkan rehat secukupnya.

Ahli Parlimen Temerloh itu juga disahkan boleh bercakap seperti biasa dan tidak mengalami sebarang masalah atau apa-apa komplikasi.