Malaysia Dateline

Abang Halil tekad selesai isu rumah, peluang kerja anak muda di DUN Samariang

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang, Abang Abdul Halil Abang Naili bertekad mahu menyelesaikan isu peluang pekerjaan yang membelenggu anak muda di Sarawak.

Menurut Jurutera berusia 61 tahun itu, ramai anak-anak muda yang berusaha mencari kerja dan membangunkan perniagaan sendiri namun tiada ‘platform’ yang boleh membantu mereka.

“Saya lihat pemuda-pemuda yang betul-betul berusaha dalam mencari peluang kerja dan (buka) perniagaan, kita patut bantu dan berfikir tentang hal tersebut.

“Isu pemuda ini adalah isu yang penting bagi saya. Kerana saya merasakan merekalah yang menjadi pemimpin masa depan. Berilah peluang kepadanya menentukan kepimpinan masa depan.

“Berilah peluang kepada mereka untuk mencari, mendapat pekerjaan-pekerjaan yang bagus dengan gaji yang lumayan. Senang untuk dia hidup di masa depan yang begitu banyak lagi pancaroba dan kesusahan dihadapi oleh golongan muda ini,” katanya dalam satu rakaman video.

Pada masa sama, Abang Halil yang bertanding atas tiket AMANAH itu juga berkata, masalah infrastruktur di kawasan DUN Samariang turut menjadi perhatiannya kerana masalah banjir sering berlaku disebabkan parit yang sempit.

Beliau juga menyatakan harapannya mahu mempermudahkan penduduk di kawasan tersebut untuk memiliki rumah mereka sendiri.

“Satu hal lagi yang saya ingin kemukakan ialah isu pembelian rumah. Kadang-kadang kasihan melihat mereka yang masih tinggal di rumah ibu bapa mereka bersama anak-anak ini.

“Mengenai harga rumah yang mahal, Kuching itu tanahnya luas. Patutnya harga rumahnya taklah semahal sekarang. Usaha mesti dilakukan, untuk menetapkan siling kepada harga rumah-rumah. Perlu letak harga berpatutan,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau menyatakan keprihatinannya terhadap masalah sosial yang perlu dibendung segera terutama berkait dengan kegiatan dadah.

“Satu perkara lagi yang perlu ditangani di Samariang ini, kita mesti mempergiatkan lagi cara kita nak memelihara kesejahteraan rakyat. Kita perlu memberi perhatian kepada usaha yang gigih untuk menyekat gejala dadah dan kita harap perkara ini dapat dibendung,” katanya.