Abang Johari enggan tergesa-gesa umum calon BN Tanjong Datu

Abang Johari enggan tergesa-gesa umum calon BN Tanjong Datu

Pemangku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tidak akan menamakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu secara tergesa-gesa.

Menurut Ketua Setiausaha Politiknya Abdullah Saidol yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), keputusan muktamad siapa calon di kawasan tersebut hanya ditentukan setelah Abang Johari mendapat maklum balas pelbagai pihak, terutama sekali daripada peringkat akar umbi.

“Kemungkinan nama calon akan diumumkan beberapa hari sebelum pernamaan calon,” katanya, memetik Sarawakvoice.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 4 Februari, manakala hari pembuangan undi pada 18 Februari.

“Selepas pengumuman oleh SPR, YAB Ketua Menteri telah memanggil saya untuk berbincang tentang persediaan awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Datu.

“Saya yakin beliau akan membincangkan isu ini secara lebih terperinci dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB esok (hari ini),” katanya.

Walaupun Dun Tanjung Datu boleh dianggap kawasan “putih”, tumpuan utama Abang Johari adalah untuk merealisasikan cita-cita serta hajat Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) untuk kawasan beliau.

Persedian untuk PRK Tanjung Datu tegasnya, akan bermula dalam tempoh yang terdekat.

“Abang Johari tidak akan tergesa-gesa untuk mengumumkan bakal calon BN sebaliknya akan membuat pertimbangan sewajarnya serta mengambil kira banyak faktor termasuk menjaga nama baik Allahyarham Tok Nan.

Kerana itulah Abang Johari mahu semua janji Tok Nan sebelum ini ditunaikan dan diteruskan terutamanya yang melibatkan pembangunan di pedalaman kawasan tersebut.

“Ketua Menteri mahu seluruh rakyat Sarawak terutama warga pedalaman, untuk sentiasa memperingati dan menghargai jasa Tok Nan dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Program Transformasi Luar Bandar (RTP) katanya, adalah hasil buah fikiran Tok Nan.

“Sepanjang dua tahun yang lepas, projek-projek RTP yang mengguna sepenuhnya peruntukan kerajaan negeri telah berjaya dilaksanakan di seluruh negeri terutama di kawasan pedalaman dan ia akan diteruskan pada tahun ini.

Projek-projek RTP tegasnya, memberi tumpuan ke arah melaksanakan projek-projek berskala sederhana dan kecil seperti membina serta menaik taraf jalan-jalan perhubungan kampung serta rumah panjang.

“Begitu juga dengan membina baharu dewan serba guna, baik pulih jeti dan jambatan kecil, selain perparitan dan sebagainya.

“Hasrat kerajaan adalah untuk memberi pada kadar segera infrastruktur asas ini tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan Persekutuan.

Sarawak bagaimanapun tegas Abdullah, masih memerlukan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek yang berskala besar, terutama sekali yang dapat menaik taraf sosioekonomi rakyat dan negeri.

“Pada masa yang sama, Abang Johari juga ingin memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif yang berpaksi kepada kepentingan rakyat, seperti yang diumumkan dalam Persidangan Bajet Negeri yang lepas.

“Ini termasuklah Pembekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dan juga tindakan susulan untuk membaik pulih sekolah-sekolah usang di kawasan luar bandar.

Abdullah, yang juga Adun Semop, berkata Abang Johari juga mahu mempastikan semua wakil rakyat BN bukan sahaja berdedikasi serta rajin, malah menjaga kawasan masing-masing sambil memahami aspirasi Tok Nan.

“Ini termasuklah dalam usaha perundingan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai autonomi pentadbiran serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepentingan negeri,” tambahnya lagi.

TAGS