Malaysia Dateline

Abang Johari sahkan GPS sudah bincang agihan kerusi PRN12

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengesahkan bahawa empat parti dalam gabungan tersebut sudah berbincang mengenai pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.

“Ya… Agihan kerusi antara empat parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) sudah dibincangkan.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu terburu-buru untuk mengumumkan senarai kerusi dan calon yang bakal diketengahkan nanti,” kata beliau pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, hari ini.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sebelum itu, menerusi kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS dalam soal pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN12 nanti.

Bagaimanapun katanya, PN Sarawak tetap bersedia untuk berhadapan dengan PRN12 lebih-lebih lagi telah melaksanakan khidmat kepada rakyat sebelum ini dan bukannya sekadar menjelangnya musim pilihan raya sahaja.

“Konsep politik kami ialah berkhidmat kepada semua dan yang perlu diutamakan adalah rakyat Sarawak sekali gus melangkaui hanya pada musim pilihan raya,” ujarnya.

Sementara itu Abang Johari ketika ditanya tarikh PRN12 dilaksanakan, beliau berkata ia terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah, Beliau juga difahamkan SPR akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah bubar secara automatik berkuatkuasa 3 November 2021 selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan proklamasi darurat.

“Ini adalah keputusan yang sukar dibuat untuk darurat ditamatkan bagi memberi laluan kepada PRN12,” tambah Abang Johari lagi.