Malaysia Dateline

Abang Mat yang ku kenali

Penghujung 1986. Aku masih ingat lagi detik itu. Kami pelajar ‘sophomore’ berusrah seperti biasa. Bilangan kami tidak ramai, sekitar 6-8 orang. Berketuakan naqib yang memimpin kami sejak ‘freshman’ lagi.

Malam itu, setelah solat Isya dan membaca ma’thurat, kami dikejutkan oleh naqib. Ada jemputan tetamu istimewa katanya. Sejurus susuk tubuh itu melangkah masuk, kami semua berdebar-debar. Masakan tidak. Bekas tahanan ISA 1984-1986 yang didakwa terlibat dengan gerakan ekstrim, sudah berada di hadapan mata. Abang Mat !!. Memang sukar untuk dipercaya. Itulah detik pertama bersua muka. Setelah bertaaruf ringkas, beliau memulakan pengisian. Kami terpegun dengan kelunakannya berbicara, kepetahannya menutur kata, mengupas tuntas isu semasa, politik dan negara.

Di suku ke empat tahun 1987, saya dan rakan-rakan meninggalkan tanah air, meneruskan perjuangan menimba ilmu ke Amerika Syarikat. Tidak lama di sana kami dikejutkan lagi dengan penahanan Abang Mat di bawah ISA untuk kali kedua, Operasi Lalang. Selepas itu tidak banyak berita yang kami terima mengenainya. Justeru dipisahkan beribu batu. Hanya ada satu dua berita disiar melalui akhbar yang dikirim oleh sahabat di Malaysia. Itu pun sebulan lewat kerana dipos biasa.

Tahanan Ops Lalang dibebaskan pertengahan 1989. Abang Mat yang memimpin pemuda ketika itu memilih untuk bertemu pelajar di seberang laut. Kami bertuah kerana Amerika menjadi destinasi pilihan. Missouri, negeri tempat saya belajar menjadi tempat pertama persinggahannya. Beliau ditemani Ustaz Azahari Abd Razak, ADUN Sala.

Saya dan beberapa orang lagi sahabat diamanahkan membawa Abang Mat dan Ustaz Azahari bertemu pelajar-pelajar di universit-universiti di Amerika. Kami turun menjelajah bumi Arkansas, Missisippi, Alabama dan Florida. Kemudian naik semula merentas Georgia, Carolina, Virginia, Pennsylvania, New York dan Massachusett. Sepanjang persinggahan dan pertemuan, Ustaz Azahari mengisi dengan santapan rohani. Abang Mat pula mengupas isu semasa dan politik.

Aku menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air pada akhir 1990, membina kerjaya dan keluarga, menginfak sebahagian masa dengan gerakan. Abang Mat terus mara dan menyerlah sebagai pemimpin. Dari Ketua Pemuda, Naib sehingga ke Timbalan Presiden. Apabila Abang Mat mempelopori Gerakan Harapan Baru dan menubuhkan Parti Amanah Negara bersama rakan seperjuangan, aku tidak ragu-ragu menyertai dan membina parti ini bersamanya. Walaupun sudut pengorbananku hanyalah sekelumit.

Kini Abang Mat sudah menjadi menteri, mengemudi parti, menyuntik semangat agar kami semua terus berbakti. Itulah Abang Mat yang ku kenali.


  • Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ketua AMANAH Shah Alam.