Malaysia Dateline

Abang Siti Sarah dan isteri dijangkiti Covid-19

Abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang dimasukkan ke Hospital Serdang akibat positif Covid-19, dilaporkan stabil.

Pegawai Perhubungan Awam, Syarikat Indigital Music, Elyias Omar, berkata, paras oksigen beliau stabil dan dirawat di wad biasa.

“Ketika doktor datang ke rumahnya, semalam, bacaan oksigen Ahmad Firdous turun 93 peratus.

“Namun, disebabkan Shuib Sepahtu masih trauma dengan apa yang berlaku ke atas Allahyarham Siti Sarah, dia meminta Ahmad Firdous tidak berlengah dan segera mendapatkan rawatan di hospital.

“Alhamdulillah, awal pagi tadi, paras oksigen Ahmad Firdous mencecah 95 peratus dan menjalani rawatan di wad biasa,” lapor BH Online.

Selain Ahmad Firdous yang merupakan anak sulung kepada penyanyi era 1980-an, Raissuddin Hamzah, isterinya turut positif Covid-19.

Namun, dua anak pasangan itu dilaporkan bebas daripada jangkitan virus tersebut.

Ahmad Firdous dan isteri disahkan positif selepas empat hari keluarga Siti Sarah dijangkiti pandemik itu.

Sebelum ini, Ahmad Firdous dan isteri sudah menjalani kuarantin kendiri selama lapan hari di rumah.

Kelmarin, Ahmad Firdous kehilangan satu-satunya adik perempuan, Siti Sarah akibat Covid-19.

Penyanyi itu meninggal dunia selepas 48 jam ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu pada hari sama.

Allahyarham meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan melalui pembedahan, 6 Ogos lalu.