Abbas beri amaran terdapat peningkatan kekerasan terhadap banduan Palestin di penjara Israel

Abbas beri amaran terdapat peningkatan kekerasan terhadap banduan Palestin di penjara Israel

Presiden Mahmoud Abbas pada Rabu memberi amaran bahawa terdapat peningkatan dari segi penggunaan kekerasan terhadap banduan Palestin di penjara Israel, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Kenyataan WAFA menyebut Abbas mengikuti perkembangan itu dengan kebimbangan mendalam berhubung serangan rejim Israel terhadap banduan Palestin, terutama di Penjara Ofer.

Menurut kenyataan itu, Abbas telah berhubung secara intensif dengan pelbagai pihak di rantau tersebut serta negara Arab untuk mempertingkat perlindungan bagi banduan Palestin.

Persatuan Kelab Banduan Palestin pada Isnin berkata sekurang-kurangnya 100 banduan Palestin cedera ketika bertempur dengan pengawal di Penjara Ofer yang terletak di Tebing Barat.

Badan bukan kerajaan Palestin itu berkata banduan terbabit telah diserang bertubi-tubi oleh pengawal penjara Israel.

Menurut persatuan itu, pengawal penjara Israel menggunakan peluru getah, gas pemedih mata, bom tangan, belantan dan anjing untuk menyerang banduan, sambil menambah tiga sel dalam penjara tersebut telah dibakar.

“Ramai banduan cedera akibat terkena tembakan peluru getah dan kebanyakan mereka telah dihantar ke beberapa hospital di Israel,” menurut kenyataan persatuan itu.

Media Israel melaporkan bahawa sejumlah banduan Palestin telah melanggar disiplin penjara dan membakar beberapa sel selepas pentadbiran penjara menghukum 12 banduan kerana menyembunyikan telefon bimbit yang diseludup.

Seorang pegawai Palestin berkata Penjara Ofer menahan kira-kira 1,200 orang daripada sejumlah 6,000 banduan Palestin yang terpaksa meringkuk dalam penjara di Israel.

Menurut WAFA, Abbas mengutuk sekeras-kerasnya “peningkatan kekerasan yang teruk oleh Israel terhadap banduan terbabit” dan menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya bagi serangan ke atas mereka.

— BERNAMA