Konflik keluarga pelakon, Abby Abadi nampaknya masuk ke episod baharu apabila wanita itu mendedahkan punca menantunya yang dikenali sebagai Ahmad Aslam dilempang oleh suaminya suatu ketika dahulu.
Abby dalam pendedahan tersebut memberitahu bahawa suaminya iaitu Muhammad Faizal bertindak melempang Aslam kerana telah menjalinkan hubungan dengan Marissa Dania yang ketika itu masih di bawah umur.
Kejadian difahamkan berlaku sewaktu anaknya itu masih di bangku sekolah di mana Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan mengakui menyesal kerana tidak lebih bertegas dengan anaknya.
Akibat daripada kesilapan tersebut, Marissa malah tetap meneruskan hubungannya dengan Aslam sehingga kini bergelar isteri kedua kepada lelaki berstatus suami orang yang memiliki tiga cahaya mata itu.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh pelakon berusia 48 tahun berkenaan menerusi satu hantaran yang tular di media sosial susulan dimuat naik di akaun Threads miliknya pada Jumaat.
Menurut Abby lagi, Aslam juga boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuklah hukuman penjara sekiranya kejadian yang berlaku ketika itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kenapa bapa tiri (Marissa) yang lempang Aslam? Sebab semasa berlakunya kejadian itu, Marissa masih di bawah umur dan berada di bawah jagaan saya serta suami iaitu bapa tirinya.
“Dua-dua memang salah. Tetapi kalau saya buat laporan polis ketika itu, Aslam yang akan ke dalam kan? Kalau buat laporan waktu itulah. Tetapi saya yang tak sampai hati,” katanya.
Kejadian tersebut dikatakan tidak diketahui oleh bekas suaminya iaitu pelakon, Norman Hakim yang juga bapa kandung kepada Marissa kerana Abby belum sempat memaklumkan kepadanya.
Pendedahan itu dibuat selepas Aslam memuat naik satu kenyataan permohonan maaf secara terbuka terhadap ibu mentuanya di platform sama susulan kekecohan tentang konflik keluarga mereka di media sosial.
“Sekarang bercerita sebab pihak itu nak berlawan sangat kan? Kata sudah minta maafkan? Tetapi yang hal 10 tahun dahulu pun tak pernah minta maaf. Tiba-tiba muncul nak minta maaf secara terbuka,” kesal Abby.
Terdahulu, Aslam menerusi hantaran di platform Threads menjelaskan bahawa dirinya telah memohon maaf secara peribadi terhadap Abby namun mengerti perasaan ibu mentuanya sekiranya mahu ia dilakukan secara terbuka.
Lelaki berusia 26 tahun terbabit juga mengatakan bahawa tindakannya yang hanya berdiam diri sebelum ini adalah kerana sedar dirinya telah banyak melakukan kesalahan kepada semua pihak terlibat.
Namun Abby dalam satu kenyataan balas meminta Aslam untuk memberikan penjelasan secara terperinci tentang kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini sehingga melukakan banyak pihak.
Untuk rekod, konflik tersebut dipercayai bermula apabila segelintir netizen meminta Abby memohon maaf kepada madu Marissa iaitu Umisya Mazlan sebelum pelakon itu meluapkan kekesalannya di media sosial.
Baca juga: “Dari awal kes kantoi aku dah lempang kau”, Aslam pernah kena tampar dengan suami Abby Abadi?