Abby Abadi ‘tutup ruang’ lepas didakwa buat cerita, doakan Marissa dan Aslam bahagia hingga ke Jannah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Abby Abadi tampil menafikan dakwaan konon dirinya hanya mereka-reka cerita mengenai kisah anak perempuannya, Marissa Dania dengan menantu iaitu Ahmad Aslam.

Malah Abby juga tidak teragak-agak mahu mendedahkan video atau rakaman kepada umum untuk membuktikan kenyataannya mengenai kejadian yang berlaku beberapa tahun lalu itu.

Pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu bagaimanapun menyifatkan Marissa dan Aslam bernasib baik kerana tiada gambar atau video sempat dirakamkan sebagai bukti ketika insiden tersebut berlaku.

“Mama buat cerita? Oh tidak. Sedapnya menulis, panjang berjela. Yang melempang itu Abahnya. Tetapi Maknya juga yang disebut. Tuduh pula, kata buat cerita ya. Nasib tiada video atau gambar pada waktu kejadian.

“Kalau ada, memang jadi kurang sabar untuk sebarkan. Minta maaf, sudah lama sangat simpan. Banyak sangat hal, sampai sudah tak terpendam. Banyak kali bagi muka,” kesal Abby dalam satu kenyataan.

Penafian tersebut dibuat oleh Abby menerusi hantaran di aplikasi Threads sebagai maklum balas kepada kenyataan Marissa yang mahu ibunya berhenti menyebarkan cerita tidak benar di media sosial tentang dirinya dan suami.

Dalam perkongsian yang sama, pelakon berusia 48 tahun terbabit turut mengakui bahawa dirinya tidak mampu lagi menahan sabar dengan segala tindakan diambil oleh anak perempuannya itu.

Namun Abby sebagai ibu tetap mendoakan yang terbaik buat Marissa dan suami supaya kekal bahagia sehingga ke Syurga walaupun enggan memberikan ruang lagi selepas ini.

“Kali ini sudah tak akan berikan ruang. Cukuplah. Jagalah Aslam itu baik-baik ya, Marissa. Semoga bahagia hingga ke Syurga Firdausi,” kata pelakon drama Gerak Khas itu dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, Marissa menerusi satu perkongsian di platform sama berharap agar ibunya dapat berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang fitnah terhadap dirinya dan suami.

Marissa atau nama sebenarnya, Marissa Dania Hakim turut meluahkan rasa kesal dalam perkongsian tersebut apabila Aslam dituduh sebagai pedofilia sekali gus menafikan dakwaan berkenaan.

Wanita berusia 20 tahun itu juga berkongsi rasa kecewa apabila Abby tidak mengendahkan permintaannya untuk berjumpa selain berharap kemelut ini dapat diselesaikan secara baik tanpa melibatkan media sosial.

Dalam perkembangan terbaharu, Abby memaklumkan dirinya tidak dapat menunaikan permintaan netizen yang memintanya berehat daripada media sosial kerana perlu berniaga secara atas talian untuk mencari rezeki.

Sebahagian besar pengguna platform Threads kemudian menjelaskan bahawa mereka bukan mahu Abby berhenti tampil di media sosial namun berharap wanita itu tidak lagi memberikan respons atau terumpan dengan komen netizen.

Baca juga: ‘Influencer’ pesan macam-macam tapi nak makan percuma, kononnya akan ‘review’ di IG