Abby Abadi sertai kempen Amanah, 41 lagi serah borang jadi ahli

Abby Abadi sertai kempen Amanah, 41 lagi serah borang jadi ahli

 

Pelakon Abby Abadi yang baru saja menyertai Muktamar Pas di Kota Bharu awal Jun lalu menyertai majlis kempen untuk calon Amanah dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar malam tadi.

Abby Abadi (kiri) di majlis berbuka puasa Amanah petang semalam. Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh.Tidak diketahui apakah Abby menyertai Amanah tetapi kini dilihat mesra Amanah dan turun membantu kempen Amanah dan Pakatan Harapan di Kuala Kangsar ketika calon Pas juga bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.

Turut serta berkempen untuk Amanah dalam PRK kali ini adalah bekas naib presiden Pas yang dipecat keahliannya Datuk Husam Musa.

Dalam majlis malam tadi juga, 41 menyerahkan borang untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) di majlis berbuka puasa bersama rakyat di Kampung Jalan Baru Jeliang, Kuala Kangsar.

Borang-borang tersebut diserahkan oleh wakilnya, Md Bakar kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu dengan disaksikan setiausaha agung Amanah Anuar Tahir.

Selain beberapa pemimpin Amanah, majlis tersebut juga dihadiri bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli turut bersama-sama dalam majlis tersebut.

Mohamad dalam ucapannya menyeru rakyat Kuala Kangsar memilih Ahmad Termizi pada 18 Jun ini bagi membolehkan suara mereka dibawa ke parlimen.

Beliau berkata pengundi khususnya yang beragama Islam seharusnya menolak calon yang menyokong pemimpin yang rasuah.

“Saya pelik kenapa orang Islam tak sensitif dengan rasuah.

“Orang bukan Islam pula bersungguh-sungguh menentang rasuah.

“Pilihan raya kali ini, pilih calon dari Amanah yang menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)