Malaysia Dateline

Abdul Hadi ‘berjiwa besar’ akan hadir Kongres Maruah Melayu, kata SUA Pas

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan hadir pada Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan pada 6 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, Pas telah dijemput untuk menghadiri Kongres yang dianjurkan oleh 4 universiti awam, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menjayakan kongres tersebut.

“Pas telah menerima jemputan daripada pihak penganjur untuk menghadiri kongres Maruah Melayu yang dijadualkan pada 6 Oktober ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat mengambil ketetapan bersetuju untuk Presiden Pas menghadiri kongres tersebut sebagai tanda jiwa besar Pas bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional dalam negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kongres yang akan diadakan pada Ahad minggu ini bertempat di Stadium Malawati Shah Alam itu dijangka turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu undangan.

Dalam kenyataan Ketua Eksekutif Sekretariat Kongress, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling hari ini pula dipetik berkata, program tersebut juga bermatlamatkan perpaduan supaya rakyat berbilang kaum dapat hidup bersama sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Perlembagaan dan bukannya takrifan politik.