Malaysia Dateline

Abdul Hadi cerita tentang Israel tapi penyokong serang DAP, pengkritik Pas

Panjang lebar artikel Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi mengenai Israel yang bermuka-muka menjadi penentang paling lantang terhadap senjata pemusnah.

Namun, komentar daripada mereka dipercayai penyokong Pas rata-ratanya memberi reaksi ‘keluar topik’ apabila tiba-tiba menyerang DAP selain mengecam pula pengkritik parti mereka.

Abdul Hadi dalam tulisan lengkap beberapa ayat terjemahan surah al-Quran itu antara lain menegaskan terdapat dalam kalangan negara Arab dan Islam dipergunakan, bahkan diperhambakan oleh fahaman Zionis.

“Betul, dan DAP adalah agen Israel di Malaysia,” kata pengguna Facebook, Muhammad Syahir Bin Aris.

Hal sama diakui Mariza Mat Yasin yang mengingatkan kononnya DAP itu proksi Yahudi di Malaysia.

“Tolong hati-hati dan bertegas. Jangan ulangi lagi kisah 22 bulan,” dakwanya.

Terdapat juga pertikaman lidah apabila pengkritik Pas secara sinis meninggalkan komen mengaitkan jawatan Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.

“Mantap Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri lawan Israel dekat Facebook saja,” sindir Harith Iskandar

Susulan itu, beberapa penyokong Abdul Hadi kemudiannya membidas kembali termasuk mendakwa individu berkenaan sebagai tentera siber.

“Dia (Abdul Hadi) lebih mulia dari kau! Dia tak pernah pun sebut nama kan dan burukkan kau.

“Dia tak pernah pun sakitkan hati kau. Dia tak pernah kalut pun pasal hati kau yang busuk dan bersangka buruk. Kau nak kata apa pun, sedikit tak menjadi kudis sebab lagi dapat pahala,” kata Rosli Md Zam.

Tambah penyokong Abdul Hadi itu lagi, Ahli Parlimen Marang berkenaan juga berkongsikan ilmu dan hadis berbeza dengan pengkritik.

“Lagi satu kau main FB mengarut saja. Mulut, tangan tak sedar. Akal guna untuk apa tak sedar, keliling dengan nafsu, bajet alim? Bajet syurga? Belum tentu lagi ya.

“Tapi yakin, terasa benar, tak nak cermin diri sendiri. Ingat Allah SWT itu wujud. Jadi, baik diam. Istighfar. Taubat lagi afdal,” tegas Rosli lagi.

Menentang Islam

Abdul Hadi juga dalam artikelnya menulis terdapat dua kali perang dunia yang berlaku pada abad yang lalu melibatkan gerakan Zionis sebagai sebuah kumpulan rakus yang melakukan kejahatan ekonomi, politik dan sosial.

“Mereka menggunakan pengaruhnya terhadap negara besar untuk mencetuskan peperangan,” katanya lagi.

Namun, reaksi penyokongnya agak ‘melucukan’ apabila menjatuhkan hukum kepada pengkritik Abdul Hadi atau Pas termasuk sebagai “penentang kebenaran dari sumber-sumber Islam.”

“Dari zaman jahiliyah Mekah sehingga tertubuhnya negara Islam Madinah tulisan-tulisan serta kata-kata yang menentang Islam, Nabi SAW, para sahabat dan umat Islam yang dilakukan oleh para kuffar, toghut dan munafiqin samalah seperti zaman sekarang atau lebih jelas lagi di ruang FB ini telah dan akan berjalan tanpa henti.

“Rantaian hasutan dan fitnah Yahudi / Zionis dan nasara tidak akan pernah berhenti dari dulu, sekarang sehingga hari kiamat di seluruh pelosok dunia termasuk di Malaysia ini,” ulas Ismail Alias lagi.

Rata-rata penyokong Abdul Hadi atau Pas menganggap kritikan dan sindiran terhadap pemimpin dan parti mereka sebagai menentang Islam.