Abdul Hadi dedah kenapa pemimpin Malaysia perlu berbangsa Melayu Islam

Abdul Hadi dedah kenapa pemimpin Malaysia perlu berbangsa Melayu Islam

Malaysia wajib memilih pemimpin negara di kalangan kaum Melayu yang beragama Islam, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, signifikan Melayu dalam pentadbiran kerajaan Malaysia adalah penting biarpun hakikatnya Islam tidak semestinya berbangsa Melayu.

“Untuk jadi ketua negara, bukan sahaja perlu ada ilmu dan maruah. Tapi, mesti mempunyai dominasi kaum yang mendokong pemimpin tersebut, baru ada kekuatan.

“Kalau tidak, apa sahaja dia cakap, tak ada siapa yang hormat kerana tiada penyokong di belakang. Di sini (Malaysia) di dominasi oleh majoritinya kaum Melayu

” Justeru, Melayu merupakan pendokong kepada pemimpin yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pidato Perdana sempena pelancaran bukunya ‘Bicara Ini Demi Perpaduan’ di Dewan Karangkraf Sinar Harian, malam tadi.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, untuk melantik pemimpin, seseorang itu juga perlu menganut ideologi negara.

“Bila sebut Islam, dia mesti menganut ideologi Islam dan menjadikan Islam sebagai akidah negara itu yang didukung oleh kaum dia.

“(Jika tidak berpegang pada Islam), tidak berlaku kekuatan Islam itu. Kalau kita lihat, komunis sendiri pun tidak lantik kapitalis jadi ketua negara dia,” ujarnya.