Malaysia Dateline

Abdul Hadi dijangka hadir ceramah PRK Dun Semenyih Khamis ini

Seandainya keadaan kesihatannya mengizinkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka menyampaikan ceramah pada 28 Februari ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Semenyih, Zakaria Hanafi, pada masa ini Abdul Hadi dilaporkan sedang uzur.

“Tapi kalau Tok Guru (Hadi) tak hadir, timbalannya (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) akan menggantikan beliau,” kata Zakaria kepada pemberita ketika ditemui di salah sebuah pusat undi awal di Kem Batallion 4 PGA hari ini seperti dipetik Astorawani.

Sekiranya, Abdul Hadi hadir menyampaikan ceramah, ini akan menghangatkan lagi perjalanan kempen PRK Semenyih kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijadual turun berkempen dan memberi ceramah di sini pada hari yang sama.

Pertembungan Dr Mahathir dan Abdul Hadi akan menjadi tumpuan susulan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan BN.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam reaksinya pula menyatakan parti itu tetap komited menyokong BN.