Abdul Hadi, Mahathir sependapat tolak Kerajaan Melayu

Abdul Hadi, Mahathir sependapat tolak Kerajaan Melayu

Kerajaan yang mentadbir Malaysia perlu mewakili masyarakat majmuk negara ini.

Demikian disuarakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini, selari dengan pandangan yang dilontarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir pada Selasa menegaskan, tidak sesuai untuk sesebuah kerajaan dibentuk mewakili kaum tertentu sahaja.

“Sebarang kerajaan Malaysia mesti wakili masyarakat majmuk.
“Mewakili masyarakat majmuk dan dominasi adalah Melayu dan Islam,” katanya ringkas kepada media di lobi Parlimen pada Rabu seperti dilaporkan Astroawani.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan baharu bersama UMNO dan Pas.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamad itu turut ditolak Dr Mahathir yang menyifatkan kepelbagaian kaum di negara ini, termasuk dalam pembentukan kerajaan, merupakan satu hakikat yang tidak boleh ditolak.

Menerusi kenyataan di Facebook, Mohamad berkata, UMNO dan PAS harus diberi peranan signifikan dalam memulihkan negara ini, bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.