Malaysia Dateline

Abdul Hadi menderita “rohab”?

1. Tajuk berita Sinar Harian ini adalah manifestasi bahawa Presiden Pas merangkap Duta Khas bertaraf Menteri, Abdul Hadi Awang sedang menderita “rohab” yang kronik.

2. Dia amat takut kepada kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa sama ada serta-merta atau selepas pilihan raya umum akan datang. Abdul Hadi dan Pas sudah merasa betapa lazatnya nikmat menjadi kerajaan pusat.

3. Keadaan psikologi Abdul Hadi ini adalah kesan daripada pengalaman pahit bertukar-tukar pasangan pilihan raya tetapi gagal membawa hasil. Perkongsian dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) mandul kerana gagal menghasilkan kemenangan dalam pilihan raya umum 2013.

4. Sebaliknya Pas teruk dibelasah oleh Umno yang menuduhnya mengikut telunjuk DAP. Akhirnya Pas tunduk kepada diayah Umno itu dan keluar untuk bertanding bersendirian dalam PRU 2018 dengan memenangi hanya 18 daripada 157 yang ditandingi berbanding 21 kerusi ketika bersama PR.

5. Rohab (fobia/ketakutan) paling dahsyat yang melanda Abdul Hadi adalah melihat DAP membentuk kerajaan bersama PKR dan Bersatu selepas PRU lalu. Sejarah akan menghukum Abdul Hadi sebagai Presiden Pas yang gagal.

8. Pucuk dicita ulam mendatang bagi Abdul Hadi apabila Muhyiddin Mohd Yassin dan gerombolannya mengajak Pas ikut serta dalam rampasan kuasa luar Parlimen melalui Gerakan Sheraton pada 23 Februari tahun lalu.

9. Tetapi Abdul Hadi telah terlepas cakap kerana kecewa tidak mendapat jawatan atau apa-apa lantas melabelkan kerajaan Melayu-Islam PN yang Muhyiddin tubuhkan itu sebagai kerajaan tebuk atap. Label itu tidak kedengaran lagi apabila Muhyiddin melantiknya Duta Khas Timur Tengah bertaraf Menteri.

10. Sekarang kerajaan pintu belakang PN menghadapi cabaran besar kerana Umno telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dalam PRU akan datang. Abdul Hadi tengah fobia dan dalam dilema hendak pilih siapa. Kekal dengan Bersatu dalam PN atau rujuk balik dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

11. Inilah maladi dan fobia kerana tidur dengan banyak sangat pasangan rambang. Takut kena maladi dan tidak ada siapa lagi mahu berkongsi ranjang.

Wallahuaklam.