Abdul Hadi minta rakyat Terengganu bersabar tunai janji berperingkat

Abdul Hadi minta rakyat Terengganu bersabar tunai janji berperingkat

Rakyat Terengganu diharap dapat bersabar dalam meletakkan harapan supaya Pas menunaikan janji sepertimana dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini berikutan kuasa pemerintahan yang kecil dan walaupun Pas berjaya memerintah, kuasa kerajaan negeri agak terbatas kerana sistem negara yang mengamalkan konsep federalisme yang membabitkan hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Bagi menegakkan sesebuah negara itu, melalui politik dan undang-undang antarabangsa mestilah mempunyai lima syarat iaitu bumi…kita dah ada bumi, kedua mesti ada rakyat dan kita sudah ada rakyat, ketiga mesti ada pemimpin dan kita juga sudah punya pemimpin.

“Keempat kita mesti ada perlembagaan dan kita sudah mencatat perlembagaan Al-Quran dan Al- Hadith, ijtimak ulama dan qias sebagai hukum tertinggi. Dan yang kelima mestilah mempunyai kedaulatan sebagai sebuah negara yang bebas sepenuhnya. Di sini kita belum dapat menyempurnakan syarat kerana kita hanyalah kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak malam tadi.

Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang berkata perjuangan memperkasakan Islam juga bukan sahaja untuk Kelantan dan Terengganu yang diterajui PAS tetapi seluruh negara.

Perkara paling penting, katanya ialah pemimpin perlu melaksanakan pemerintahan berkonsepkan Islam yang mementingkan hubungan dengan Allah dalam segenap soal pentadbiran negeri yang merangkumi ekonomi dan politik.

Antara beberapa prinsip pentadbiran cara Islam yang digariskan ialah tidak memisahkan politik dengan agama seperti yang diamalkan oleh kerajaan di negara barat dan melaksanakan konsep ekonomi yang adil iaitu tidak berfungsi untuk golongan kaya semata-mata sebaliknya diagihkan secara adil.

Abdul Hadi berkata, “Islam adalah wasatiyyah (sederhana) iaitu antara sistem liberal dan sosialis, iaitu mengizinkan mengumpul harta tetapi kemajuan ekonomi diagihkan dengan cara yang betul untuk membantu dan menolong. Seterusnya negara berkebajikan yang bukan sahaja untuk orang Islam tetapi kepada masyarakat majmuk iaitu bukan Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan juga untuk menjadi kerajaan yang adil dan mencegah kemungkaran. Sekarang kita sudah mempunyai kuasa pemerintahan boleh melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya di negeri ini. Kita juga masih berjuang untuk Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang kita bentangkan di Parlimen dan insya-Allah akan mendatangkan hasil”.

CATEGORIES