Hadi-Najib serlahkan keserasian ke arah titik perpaduan umat Islam

Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Dr. Abdul Hadi Awang bagaikan ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak’ itulah gambaran yang boleh dinilai daripada ucapan pemimpin Melayu dari parti PAS dan Umno ini.

Ramai yang tertunggu-tunggu jika ada pengumuman akan dizahirkan oleh  kedua pemimpin ini namun 1,000 hadirin yang hadir dalam Multaqa  Serantau Alumni Al Azhar Malaysia 2015, kelihatannya masih  kabur, seribu persoalan belum lagi terjawab,  apakah ‘salam silaturrahim’  atas nama perpaduan umat Melayu Islam itu disambut PAS?

Daripada ucapan-ucapan kedua pemimpin jelas membayangkan ke arah kerjasama dalam penyatuan umat Melayu Islam dalam isu-isu tempatan dan global tetapi bukan penyatuan dalam pentas politik seperti sebelum ini ramai meneka dalam kesamaran apakah maksud ‘tali silaturahim’  atau ‘kerjasama PAS-Umno’ itu akan dijelmakan? Ibarat kata hanya jauhari yang mengenal manikam. 

Presiden PAS, Datuk Dr Abdul Hadi Awang berkata fahaman sekularisme adalah cabaran ideologi umat Islam mutakhir ini yang telah memisahkan agama dan cara hidup Islam yang addin.

Apabila ideologi sekularisme ini memisahkan agama dan cara hidup menyebabkan semua teori membabitkan ekonomi dan politik yang dipelajari umat Islam jauh menyimpang daripada ajaran islam sebenar.

“ Malangnya pada zaman mutakhir ini orang Islam hadapi cabaran ideologi yang dibawa barat dan dimasukkan dalam pemikiran orang Islam apabila faham sekularisma memisahkan agama dan cara hidup mereka.

“Sedangkan semua teori ekonomi dan politik sudah ada termaktub dalam al-Quran ia bukan pembaharuan dari barat tapi sebenarnya mereka menciplak dari ajaran Islam,” ujarnya dalam ucaptama pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang julung kali diadakan  selama tiga hari bermula semalam hingga Jumaat ini.

Abdul Hadi menjelaskan, dalam teori politik sistem demokrasi adalah yang paling dekat dengan sistem politik Islam yang diterangkan dalam Al-Quran.

“Al-Quran menentang ‘diktatorship’ yang mana pemimpin atau ahli agama berlagak seperti tuhan. Islam menentang sekeras-kerasnya barang kali demokrasi lebih dekat dengan Islam.Dalam sistem demokrasi adanya hak rakyat, kebebasan mengkritik pemerintah, pemimpin boleh ditegah, pemimpin mesti terbuka, ini semua ada dalam Islam.

Abdul Hadi Awang  menerangkan  sistem demokrasi  ada hak rakyat, kebebasan  mengkritik pemerintah,  pemimpin boleh ditegah,  pemimpin mesti terbuka,  ini semua  ada dalam Islam.“Tapi malangnya demokrasi tiada akidah, masukkan sikit akidah sahaja,” ujarnya yang dilihat merujuk kepada sistem perlembagaan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi dan diiktiraf sebagai sebuah negara Islam.

Dalam ucapannya beliau turut menerangkan peristiwa ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Apabila sahabat nabi mengadakan perbincangan untuk melantik siapakah ketua Qabilah mereka.

“Lepas wafatnya baginda, para sahabat bermesyuarat untuk memilih siapa yang jadi ketua negara.

“Setelah berbincang dilantik Saidina Abu Bakar daripada kaum Quraish yang mempunyai kabilah yang paling berpengaruh untuk dilantik menjadi kalifah.

“ Abu Bakar menyampaikan ucapan dengan berkata: ” Saya dipilih jadi pemimpin, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya salah perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat.

“ Jangan mengampu saya, kalau saya betul kata betul, saya salah kata salah, kalau saya betul kata salah, kalau saya salah kata betul itu bohong kerana ia akan merosakkan pemimpin dan negara. Taat kepada saya kerana saya taat kepada Allah dan Rasul jika saya tak taat jangan taat kepada saya.” Jelas Abdul Hadi.

Beliau juga menyentuh situasi umat Islam mutakhir ini yang sering bergaduh kerana perbezaan mazhab dan  ideologi mengakibatkan berlaku peperangan antara proksi.

“Walaupun kita berbeza pendapat, berbalah, berkelahi, tidak akan berlaku peperangan proksi. Jangan ada di rantau kita jadi macam rantau Asia Barat. InsyaAllah Melayu tidak akan jadi macam Arab.

“Hindarkan pertembungan kerana perbezaan ideologi atau berlaku pergaduhan kerana proksi apabila ada orang mengunakan kita, mengaut hasil kita dan membunuh kita kerana zaman penjajahan sudah tiada lagi.

“Mari kita memerdekakan diri dengan sebenarnya, tafsirkan Islam dalam perlembagaan mengikut addin bukan mengikut agama.

“ Penjajah sudah tidak ada lagi. Dikalangan ustaz, ulama dan ilmuan Islam ramai yang belajar ilmu dari Timur . Bina kekuatan agama kita di negara ini secara jama’i (berkumpulan) kita tidak perlu penasihat dari timur dan barat.

“Kita boleh ambil ilmu mereka, tetapi nasihat mereka tidak boleh diambil, yang dalam dewan ini boleh jadi penasihat kita, boleh ambil mereka. Ini kerana dikalangan ulama memainkan peranan yang besar pada masyarakat. Mereka bukan sahaja berilmu tetapi mahir untuk menterjemahkan ilmu, menyelesaikan masalah, malah tak perlu ambil orang luar,” ujarnya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Forum tiga hari bermula semalam anjuran Rabitah Alumni Al-Azhar Malaysia dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri itu telah dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Najib dalam ucapannya pula berkata, amat bahaya dan mudarat apabila umat Islam terjebak dalam kancah perpecahan dan perbalahan.

Beliau memetik ayat 103 surah Al Imran yang bermaksud: “Berpegang teguh kamu semua dengan tali Allah dan jangan kamu semua berpecah belah.”

Lantas Najib mempersoalkan perpegang kepada apa? Jawabannya bukan berpegang kepada tali manusia atau tali-tali biasa tetapi tali Allah.

Yang kedua ditegaskan janganlah kamu semua berpecah belah, iaitu melarang kita daripada berpecah belah.

“Maka saya ingin menyatakan mewakili ‘kabilah’ dan tuan guru yang mewakili ‘kabilahnya’ marilah kita berpegang kepada pengertian ayat ini.

“Jangan kita pula macam negara Islam lain,” itulah mukadimah Presiden Umno  yang mendapat tepukan gemuruh hadirin, seolah-olah sudah ada tanda-tanda penyatuan antara dua pemimpin besar parti Melayu ini bekerjsama dalam mempertahankan agenda umat Melayu dan Islam.

Najib juga menyebut sungguhpun Islam mewajibkan perpaduan dan sikap tolong menolong sesama umat Islam,namun beliau tidak menafikan perlu menyantuni pandangan dan pendapat yang berbeza.

“Kalau berkait dengan urusan dunia sudah tentu kita meyakini berpasukan itu penting untuk umat Islam.Persoalan kritikal bagaimana untuk bina perpaduan itu? Soalnya.

Beliau menekankan persoalan kemajmukan kaum yang wujud di negara ini untuk saling lengkap melengkapi untuk menentukan tatacara masyarakat dan adab sosial yang murni.

“Perlu mengisyaratkan, pra syarat kepada perpaduan ialah budaya hidup bermasyarakat yang positif dan akhlak terpuji.

“Perpaduan itu amat menuntut tindakan berhemah, berpandangan jauh, apakah agenda dan natijah akhir yang akan terzahir apabila perpaduan itu berhasil dan apa pula mudaratnya jika perpaduan itu runtuh.

“Kita tidak perlu pakar-pakar dari barat timur mengajar kita tetapi perlu berpandu al-quran dan sunnah,” ujarnya yang seolah bersetuju dan memberi respon langsung dengan pandangan Abdul Hadi dalam ucap tamanya itu.

Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, yang julung kali diadakan ini sebagaimana kenyataan Pengerusi Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia, Datuk Dr. Mohd Fakhruddin Abdul Malik, diharap dapat merintis jalan ke arah penyatuan dua parti Islam terbesar, iaitu PAS dan Umno.

Ini sesuai dengan seminar berkenaan yang membincangkan perbezaan pendapat dan ideologi politik yang sedang melingkari masyarakat Islam di negara ini.

(Duduk dari kiri ) Prof. Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, Timbalan Sheikh Al Azhar, Prof Dr. Abbas Shauman, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dan Presiden WAAG, Prof. Dr. Muhammad Quraish Shihab.

TAGS