Abdul Hadi pemimpin parti Islam tetapi tekankan Melayu, bidas Mohamed Hanipa

Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal kewajaran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin parti Islam tetapi memberi banyak penekanan kepada Melayu dalam isu berhubung kepimpinan negara.

Pengerusi Kanun Amanah, Mohamed Hanipa Maidin.Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal kewajaran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin parti Islam tetapi memberi banyak penekanan kepada Melayu dalam isu berhubung kepimpinan negara.

Pengerusi Kanun Amanah, Mohamed Hanipa Maidin merujuk kenyataan Hadi dalam satu laporan berita di harakahdaily.net bertajuk “Mesti Islam Ketua Kerajaan” yang antara lain menyebut, “dalam Malaysia, majoriti rakyat adalah orang Melayu Islam, mesti terima hakikat, Melayu Islam memimpin negara sama ada cara Umno atau cara PAS, itu bab lain.”

Hanipa yang juga peguam itu berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan syarat bahawa individu beragama Islam memimpin negara sebaliknya mesti mendapat sokongan dan keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Jadi mengapa hanya hadkan realiti tersebut tanpa mengira realiti lain yang juga tak kurang pentingnya? Kenapakah TGHH sebagai Presiden parti Islam, bercakap tentang pemimpin Melayu /Islam dan tidak hanya pemimpin Islam?

“Bukankah Islam tidak pandang kepada bangsa? Adakah Melayu Islam yang korup akan diutamakan daripada Cina Islam atau India Islam atau Kadazan Islam yang bertaqwa. Kalau ya, minta maaf, saya ada masalah nak terima Islam versi tersebut. Adakah ini asabiyyah baru iaitu assabiyyah Islam?”

“Tok Guru kata ‘PAS mahu Malaysia diperintah oleh orang Islam’. Ok, itu satu permintaan yang wajar dan munasabah. Tapi kenapa diletak syarat pula mesti Melayu/Islam. Yang ini, bagi saya, tak wajar dan nampak asing daripada ajaran Islam?” tegas bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Rakyat sudah beri PAS peluang

Turut menafikan dakwaan Hadi dalam laporan berita itu seolah-olah rakyat tidak pernah memberi peluang kepada PAS untuk memerintah, Hanipa berkata, hal tersebut telah dibuktikan di Kelantan termasuk hanya bertahan satu penggal pentadbiran di Terengganu dan Kedah.

“Kalau pemerintahan PAS ‘superb’ sudah tentu rakyat tak akan tolak hanya satu term sahaja? Mungkin di Kelantan PAS dah perintah agak lama, mungkin ada banyak yang Kelantan dah buat, yang baik, namun adakah PAS berani kata kerajaan Kelantan adalah model terbaik kerajaan Islam?

“Mungkin Tok Guru Nik Aziz boleh dibanggakan dari banyak sudut, tapi bagaimanakah kerajaan Kelantan secara keseluruhan?” soal Ahli Parlimen Sepang itu.

Walau bagaimanapun, menganggap kenyataan Hadi berkenaan mungkin bermaksud memberi peluang untuk PAS menguasai Putrajaya, Hanipa dilihat secara sinis membandingkan prestasi PAS sebelum ini dalam memerintah kerajaan negeri.

“Mungkin TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) merujuk kepada kerajaan Pusat iaitu beri peluang PAS perintah kerajaan Pusat dulu dan rakyat akan lihat bagaimana? Kalau itu hujahnya, rakyat akan cakap beri peluang perintah di negeri pun dah kelam kabut, macam mana kami nak percaya dan beri peluang perintah di pusat?” ujarnya.

Hadi serkap jarang sejarah pemerintahan Islam?

Mengulas lanjut tentang dakwaan Ahli Parlimen Marang tetapi kerap tidak hadir persidangan Dewan Rakyat itu, kononnya hanya pemerintahan Islam sahaja terbukti mampu memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa, Hanipa berkata, Hadi seolah-olah tidak melihat keseluruhan sejarah politik Islam.

“Nampaknya macam ada tak kena dengan kenyataan itu, seolah-olah tak melihat keseluruhan sejarah Islam. Bukankah sejarah Islam menyaksikan juga pelbagai ragam pemerintahan. Yang adil seperti pemerintahan Syaidina Umar Abd Aziz’wujud. Yang zalim dan memberi wajah dan imej buruk kepada Islam juga seperti pemerintahan Yazid ibnu al Muawiyyah dan seumpamanya juga wujud.

“Melainkan TGHH bersikap selektif dalam bercakap tentang sejarah Islam, saya rasa menggunakan elemen sejarah untuk justifikasi pemerintahan Islam ada masalah,” hujahnya.

Turut mempersoalkan kemungkinan Hadi menganggap pemerintahan bukan Islam zalim dan tidak adil, Hanipa memberikan contoh tentang arahan Nabi Muhammad kepada para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah (Ethopia) di bawah pemerintah seorang raja Kristian.

“Kalau pemerintahan Kristian itu tak adil, mengapa Rasulullah s.a.w benarkan para sahabat berhijrah ke sana? Bukankah Imam Ibnu Al Qayyik pernah menyatakan kerajaan adil boleh wujud dalam pemerintahan yang tidak laksana syariat Allah dan pemerintahan zalim boleh wujud walaupun dalam pemerintahan yang laksana syariat Allah atau kata-kata seumpamanya? Wallahu ‘alam.

“Dalam sejarah moden pula, mengapa ramai ahli gerakan Islam yang berhijrah ke negara barat bagi mendapatkan keadilan dan suaka politik padahal mereka sebelum itu tinggal di negara Islam dan berpemimpinkan orang Islam yang bercakap bahasa Al-Quran? Wallahu a’lam. Saya hanya bertanya,” ujar Hanipa lagi.

Agenda kerjasama Umno-PAS bertiup kencang apatah lagi kecenderungan tersebut diakui mendapat restu daripada pucuk kepemimpinan PAS Pusat seperti disahkan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam wawancara bersama BH Ahad hari ini.

TAGS