Abdul Hadi tidak isi borang pencalonan pemilihan jawatan Kesatuan Ulama Sedunia, kata SUP

Abdul Hadi tidak isi borang pencalonan pemilihan jawatan Kesatuan Ulama Sedunia, kata SUP

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan untuk tidak mengisi dan menyerahkan borang pencalonan kepada Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman, berkata, Abdul Hadi selaku Naib Presiden IUMS  membuat keputusan untuk tidak mengisi dan menyerahkan borang pencalonan kepada Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berbuat demikian, setelah tempoh pencalonan ditutup pada jam 9 malam (waktu Turki), Isnin 5 November.

“Hasrat ini telah dinyatakan oleh YB Datuk Seri sebelum berangkat ke Turki, dan telah disampaikan kepada beberapa pimpinan tertinggi IUMS.

“Setelah mempertimbangkan keterbatasan komitmen dan kesihatan, namun bersedia untuk terus menyumbang idea dan pandangan untuk kebaikan IUMS,” ujar kenyataan itu.

Abdul Hadi telah dilantik sebagai Naib Presiden IUMS bersama dua lagi penyandang iaitu Sheikh Dr. Ahmad ar-Raisuni dari Maghribi dan Sheikh Ahmad Hamad al-Khalil dari Oman.

Pengasas dan Pengerusi IUMS adalah ulama kontemporari Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi.

Agenda pemilihan kali ini akan berlangsung pada hari Rabu, 7 November dan keputusan rasmi dijangka diumumkan sebelum Majlis Penutup pada hari Khamis, 8 November.

Muktamar Tahunan Ulama Islam Sedunia kali ke-5 itu diadakan di Hotel Grand Cavahir Istanbul bermula 3 hingga 9 November ini.

Muktamar ini turut dihadiri Penasihat Umum AMANAH Datuk Seri Ahmad Awang.

Datuk Seri Abdul Hadi bersalaman dengan Presiden IUMS Dr Yusuf al-Qaradawi. Foto Facebook.