Abdul Latif gagal pertahan emas dalam Kejohanan Para Dunia

Abdul Latif gagal pertahan emas dalam Kejohanan Para Dunia

Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly gagal dalam misinya untuk mempertahankan pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu apabila meraih perak dalam acara lompat jauh lelaki T20 (masalah pembelajaran) pada Rabu.

Olahragawan Kebangsaan 2016 itu yang menang pingat emas berturut-turut pada edisi 2015 dan 2017, mencatatkan jarak lompatan 7.24 meter (m) pada percubaan keenam dan terakhir, namun jarak itu jauh di belakang rekod dunia 7.64m miliknya pada Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Ranki Oberai dari Belanda menjadi pemegang rekod baharu kejohanan selepas mencatat jarak lompatan 7.39m sekali gus memenangi emas manakala Roberto Carlos Chala Espinoza dari Ecuador meraih pingat gangsa selepas melakukan lompatan sejauh 6.88m, demikian menurut laman web Paralimpik, www.paralympic.org.

Pingat ketiga daripada Abdul Latif itu menyaksikan Malaysia mengumpul tiga perak dan satu gangsa.

Dua pingat perak disumbangkan oleh Jonathan Wong Kar Gee dalam kategori lompat jauh T12 (cacat penglihatan) dan Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) manakala gangsa diraih Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m lelaki T36/cerebral palsy).– BERNAMA