Abdul Rahman kemukakan bukti  kami tidak  takut, kata Guan Eng

Abdul Rahman kemukakan bukti kami tidak takut, kata Guan Eng

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mencabar Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengemukakan bukti berhubung isu penjualan sebidang tanah di Taman Manggis dengan harga RM20 juta.

Guang Eng berkata demikian apabila Abdul Rahman mendakwa mempunyai bukti dokumen Perjanjian Jual Beli dan akan menyerahkan dokumen berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

“Saya tidak mahu tanya mana beliau (Abdul Rahman) dapat surat perjanjian, tapi saya hanya sebut di sini beliau boleh berikan apa-apa dokumen kepada SPRM, kami tidak takut kerana kami benar.

“Perjanjian ini jelas menunjukkan dia masih dalam nama syarikat asal. Tidak pernah pergi ke mana-mana syarikat ketiga,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Semalam, Guan Eng dan Abdul Rahman dilaporkan berselisih faham berhubung isu penetapan harga RM400,000 bagi rumah mampu milik ditentukan oleh kerajaan persekutuan pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong.

Abdul Rahman Dahlan Berikutan itu, Abdul Rahman memaklumkan beliau mempunyai bukti penjualan tanah berkenaan dengan harga RM11 juta berbanding harga pasaran RM20 juta yang ditawarkan kepada Kuala Lumpur International Dental Care (KLIDC).

Menurut Guan Eng lagi, s‎yarikat tersebut tidak pernah membuat permohonan untuk menjual tanah kepada pihak ketiga dan masih mengekalkan permohonan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk projek pembangunan.

Ahli Parlimen Bagan itu turut menjelaskan berdasarkan Pelan Jabatan Perumahan Negara membuktikan bahawa KLIDC masih memiliki tanah berkenaan dan pihak terbabit telah merancang untuk menubuhkan sebuah hospital.

Meskipun syarikat tersebut berniat untuk menjual tanah itu, proses penjualan itu akan memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, namun sehingga kini menurut Guan Eng lagi, beliau tidak pernah menerima permohonan tersebut.

“Abdul Rahman sebut syarikat yang dapat tanah itu jual kepada pihak ketiga, pemilik tanah itu masih di bawah KLIDC.

“Syarikat ini tidak pernah buat permohonan jual kepada pihak ketiga sekiranya mahu jual mesti buat permohonan dan dapat kelulusan daripada kerajaan negeri,” katanya.

TAGS