Malaysia Dateline

Abdul Wahid Omar letak jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan PNB

Tan Sri Abdul Wahid Omar dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), menurut sumber yang rapat dengan syarikat berkaitan kerajaan.

Hari ini adalah hari terakhir beliau sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan dijangka berakhir pada jam 4 petang ini.

Difahamkan PNB mengadakan sesi townhall pagi ini, dengan Wahid mengumumkan perletakan jawatannya, lapor Utusan online.

Pengganti Pengerusi Kumpulan PNB buat masa ini belum diketahui.

Terdahulu pada 21 Jun 2018, Abdul Wahid sedang berunding mengenai terma untuk menamatkan perkhidmatan dan dijangka meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) seawal Julai.

Dilaporkan juga Abdul Wahid djangka meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby Property Bhd.

Abdul Wahid dilantik sebagai Pengerusi PNB selepas menamatkan tempohnya sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

Sebelum pelantikan beliau ke Kabinet, Abdul Wahid adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd (Maybank), kumpulan perbankan terbesar Malaysia dan satu daripada kumpulan perbankan terkemuka di Asia Tenggara, dari Mei 2008 hingga Jun 2013.

Maybank adalah organisasi utama ketiga yang dipimpinnya sebagai CEO. Sebelum menyertai Maybank, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd dari Julai 2004 sehingga pengasingannya dengan Axiata Group Bhd.

Spekulasi Abdul Wahid bakal meninggalkan PNB tercetus sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Dua hari sebelum PRU-14, beliau telah mengeluarkan kenyataan mengenai mengapa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) harus dikekalkan dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah bersifat regresif.