Malaysia Dateline

ABIM bantah pelaksanaan PPSMI kali kedua

Kerajaan tidak harus melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) buat kali kedua.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan harus melihat dengan lebih mendalam iaitu dari segi kepentingan negara, generasi, dan juga melihat kepada kepentingan secara menyeluruh berdasarkan kepada fakta serta kajian.

“Bukan hanya melihat berasaskan nilai sentimental, pandangan peribadi, legasi dan sebagainya. Semua itu harus jelas.

“Kami juga khuatir ianya akan dilaksanakan secara serius oleh Tun Dr Mahathir sebab kita memahami bahawa dasarnya merupakan satu legasi daripada Dr Mahathir.

“Dan memang Dr Mahathir konsisten dengan idea beliau walaupun telah dibentangkan puluhan laporan, kajian yang secara jelas menyatakan kegagalan dasar itu,” katanya secara eksklusif kepada Malaysia Dateline hari ini.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pandangannya berkaitan perancangan kerajaan yang mahu melaksanakan semula dasar PPSMI.

Muhammad Faizal ditemui pada sidang media khas Isu PPSMI oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Sekreatriat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Taman Melati hari ini.

Dalam perkembangan berbeza, ditanya tentang cara untuk memperkasakan kembali tulisan Jawi dalam kalangan golongan muda, Muhammad Faizal berpendapat penerbitan dalam tulisan Jawi perlu diperkasakan.

“Contohnya di Sekolah Kebangsaan, dibuat satu inisiatif seperti sidang redaksi khas dalam bahasa Jawi untuk pelajar-pelajar sekolah.

“Ia bagi memastikan wujudnya promosi kepada kepentingan tulisan Jawi. Jadi ia harus dilakukan secara bertahap dan juga perlu dilaksanakan secara serius mungkin oleh pihak kementerian dan ibu bapa,” katanya lagi.