Malaysia Dateline

ABIM bimbang lantikan bertaraf menteri jadi hadiah saguhati politik

Angkatan Belia Islam Malaysia khuatir lantikan bertaraf menteri akan menjadi hadiah saguhati politik kepada mana-mana ahli Parlimen yang menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan Perdana Menteri yang secara wewenang melantik ramai individu memegang sesuatu jawatan bertaraf Menteri pasti akan memberi kesan buruk kepada amalan demokrasi dalam negara.

Beliau berpendapat lantikan bertaraf menteri seolah-olah menjadi budaya baharu politik negara yang pasti memberi kesan kepada tatakalola kerajaan yang baik serta membawa implikasi besar terhadap kewangan negara.

Sehubungan itu, ABIM, katanya menggesa kerajaan membentangkan garis panduan sebenar berhubung lantikan tersebut meliputi syarat keperluan, dasar kebertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap Parlimen.

Menurutnya, Ismail Sabri juga perlu memberi penjelasan berhubung batasan lantikan agar pihak kerajaan bersifat jujur dan telus kepada rakyat sebelum sebarang lantikan dibuat.

“Dalam masa yang sama, perkara-perkara asas meliputi batasan lantikan dan akauntabiliti seperti dinyatakan harus dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan agar mereka turut sama memikul tanggungjawab yang termaktub dalam doktrin ministerial responsibility serta prinsip collective responsibility┬áseperti yang wujud dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Faisal lagi.