Malaysia Dateline

Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abd Aziz

ABIM cadang tangguh usaha pintu belakang sehingga sidang parlimen bermula

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan sekiranya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat menangguhkan sebarang usaha pintu belakang sehingga sidang parlimen bermula, iaitu 9 Mac ini.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, adalah lebih baik sekiranya ia diserahkan terus kepada Parlimen untuk menentukan sekiranya berlaku sebarang perubahan kepemimpinan negara.

“Penentuan menerusi sidang Parlimen ini adalah penting untuk memastikan penubuhan sebarang kerajaan baharu (sekiranya bakal berlaku) dilihat telus dan demokratik apabila ia diputuskan dalam platform rasmi yang dimandat oleh rakyat.

“Ia juga adalah penting bagi menjarakkan Istana dari pergelutan politik ekoran dari permainan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakyat tidak memerlukan langkah “politicking” pintu-belakang lebih-lebih selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat lalu.

Beliau mengingatkan bahawa ketika ini, rakyat hanya mahukan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.

Jelasnya juga, tiada sebarang alasan untuk perkara ini (kerajaan pintu belakang) bermula oleh kerana lebih malang lagi, sekiranya ia disandarkan sentimen bangsa dan agama yang dimainkan, pastinya akan memburukkan keadaan.

“ABIM melihat perkara ini sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat yang mahukan perubahan apabila pemimpin kleptokrat yang ditumbangkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, kini direncanakan kembali untuk meneraju kerajaan tanpa mandat rakyat yang sah,” ujarnya.