ABIM contoh kepada NGO belia, kata Syed Saddiq

ABIM contoh kepada NGO belia, kata Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia mencontohi model pergerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang lantang menyuarakan hak orang muda selain kekal releven selama hampir 47 tahun.

Menurut pemimpin Ketua Pemuda Bersatu itu, ABIM merupakan contoh pergerakan belia Islam yang sederhana dan progresif hingga mempu melahirkan pemimpin disegani.

“ABIM telah diberi penarafan lima bintang oleh Kementerian Belia dan Sukan dan kita memang mahu memberi penghargaan menerusi sumbangan kepada pertubuhan itu.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawa untuk memberi apa sahaja bantuan dan dalam masa sama, menjadikan pertubuhan itu sebagai contoh kepada NGO belia yang lain,” dipetik dari Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Relawan Malaysia sempena Muktamar Sanawi Ke-47 ABIM, di Seremban malam tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun), Zulkefly Mohamad Omar dan Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Dalam pada itu Syed Saddiq turut mengingatkan ABIM untuk sentiasa komited dalam mempertahankan belia tidak kira perubahan yang berlaku terhadap landskap politik negara.

Tambahnya, jika pertubuhan berkaitan lantang menyuarakan hak dan isu anak muda, masa depan golongan itu akan sentiasa terbela.

Muktamar Sanawi Ke-47 ABIM malam tadi dengan penganjuran Seminar Kebangsaan bertemakan “Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu” diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan bekas Presiden ABIM (1974–1982) turut menyampaikan ucap tama.

Selain persembahan choral speaking, nasyid dan orkestra, majlis makan malam tersebut turut menyaksikan pelancaran Relawan Malaysia, buku “Rohingya: Bantu Atau Bantai, aplikasi “MyRelawan” dan Tabung Pembangunan Relawan.