Abim gesa anggota MPPK berdasarkan matlamat Pendidikan Negara

Abim gesa anggota MPPK berdasarkan matlamat Pendidikan Negara

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius perlantikan anggota dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang gagal menunjukkan kepelbagaian dalam kerangka mencapai matlamat dasar pendidikan kebangsaan.

Abim menegaskan bahawa keahlian MPPK sewajarnya dilantik berdasarkan matlamat pendidikan negara dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Gelombang kedua yang berakhir pada 2020 mensasarkan perubahan pembudayaan pendidikan yang antara lain melibatkan pendidikan vokasional, memartabatkan bahasa Melayu, dan penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diberikan nasihat oleh konsultan luar seperti McKinsey yang dibayar jutaan ringgit.

Namun, kali ini, Abim menyeru KPM untuk menunjukkan contoh dan kebijakan yang mencerminkan wajah pendidikan citra bangsa Malaysia seluruhnya.

Di dalam satu kenyataan Setiausaha Agung Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa agar Penasihat Pendidikan yang bertanggungjawab kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan serta wawasan pendidikan negara; wajar melibatkan mereka yang mempunyai otoriti dalam bidang-bidang yang membantu kerajaan mencapai dasar berkenaan.

Katanya, domain utama pendidikan yang membantu KPM seperti dalam konteks dasar melibatkan penggubalan kurikulum dan pentaksiran, dasar melibatkan pengurusan persekolahan, dan dasar melibatkan pembangunan profesionalisme keguruan, sewajarnya menjadi faktor utama dalam memilih ahli majlis penasihat.

“Semestinya, bukanlah melibatkan tokoh-tokoh yang sering kali melanggar prinsip dan dasar pendidikan dan bahasa kebangsaan, atau yang mempunyai hubungan politik kepartian,”katanya.

Seramai tujuh anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2018-2020 telah dilantik, berkuatkuasa 1 Ogos 2018. Pelantikan ini dibuat oleh Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin dilantik sebagai Pengerusi MPPK manakala Tan Sri Yong Poh Kon sebagai Timbalan Pengerusi.

Senarai keanggotaan MPPK sesi 2018-2020 adalah seperti berikut:

1. Tan Sri Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin (Pengerusi)
2. Tan Sri Yong Poh Kon (Timbalan Pengerusi)
3. Datin Noor Azimah binti Abdul Rahim (Anggota)
4. Dato’ Satinah binti Syed Saleh (Anggota)
5. Datuk Dr. Sukiman bin Sarmani (Anggota)
6. Brig. Jen. Dato’ Yusri bin Anwar (Anggota)
7. Prof. Dr. Ruzita binti Mohd Amin (Anggota)