Abim gesa kerajaan Malaysia desak India hentikan keganasan di Kashmir

Abim gesa kerajaan Malaysia desak India hentikan keganasan di Kashmir

Sehubungan lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia baru-baru ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan India menghentikan segala aktiviti keganasan yang berlaku di bahagian wilayah Kashmir yang di bawah penguasaan India.

Presiden Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, Abim menilai keganasan yang berlaku di wilayah tersebut semenjak 1948 kerana kerajaan India berterusan menafikan hak penduduk Kashmir untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Tindakan ini bertentangan dengan pelbagai ketetapan dan resolusi badan-badan antarabangsa termasuk PBB berhubung dengan isu di Kashmir, katanya.

“Krisis kemanusiaan di Kashmir telah menelan banyak nyawa yang tidak berdosa di samping menyaksikan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia yang mengundang kritikan daripada ramai pemerhati antarabangsa.

“Sebagai komitmen negara terhadap perjuangan hak asasi manusia di samping solidariti terhadap rakyat Kashmir yang memperjuangkan hak asasi mereka di pentas antarabangsa, Abim menggesa kerajaan Malaysia menerusi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan hasrat rakyat Malaysia yang cintakan keamanan yang mahukan pertumpahan darah di Kashmir dihentikan serta merta,” kata beliau dalam satu kenyataan kelmarin.

Abim juga tegas beliau, menggesa kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hasrat masyarakat antarabangsa yang mahu rakyat kashmir diberikan hak dan ruang untuk menentukan masa depan wilayah tersebut menerusi proses pungutan suara yang demokratik.

CATEGORIES