Malaysia Dateline

Abim gesa pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat sabitan dan hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad atas kesalahan mendedahkan maklumat perbankan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Keputusan ini pasti akan menggusarkan rakyat awam untuk mendedahkan maklumat tertentu yang difikirkan mengandungi unsur-unsur rasuah serta penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam oleh pihak tertentu, kata Presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, Abim mengamati keputusan Mahkamah Sesyen adalah terhad hanya dalam ruang lingkup untuk mengaplikasikan undang-undang sedia ada khususnya peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372] atau lebih dikenali sebagai BAFIA, dan ia harus dihormati.

Justeru, langkah yang lebih proaktif di peringkat Kerajaan sebagai badan eksekutif serta institusi Parlimen sebagai organ legislatif perlu untuk mengangkat dan mendaulatkan undang-undang sedia dalam melindungi pemberi maklumat atau whistleblower termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711], jelasnya.

“Abim mengungkap kembali kenyataan pihak kerajaan pada Jun 2010, ketika Parlimen meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang menegaskan tujuan akta ini antara lain untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menggalakkan serta memudahcara pendedahan salah laku dalam sektor awam dan swasta dan melindungi mereka yang membuat pendedahan.

“Maka, Abim menggesa pelindungan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] tidak dibatasi oleh mana-mana undang-undang bertulis lain yang secara tidak langsung boleh menjenayahkan sesiapa sahaja yang ingin membuat pendedahan.

“ABIM merujuk kepada Seksyen 6 (1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang menyatakan: “Seseorang boleh membuat pendedahan kelakuan tidak kepercayaannya yang munasabah bahawa mana-mana orang telah melibatkan diri, sedang melibatkan diri atau bersedia untuk melibatkan diri dalam kelakuan tidak wajar:

“Dengan syarat bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis.”,” kata beliau.

Selain itu katanya lagi, Abim juga menggesa untuk diwujudkan peruntukan ‘pembelaan’ kepada kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) untuk memberi hak kepada pemberi maklumat membela diri atas alasan munasabah seperti kepentingan awam apabila didakwa atas kesalahan mendedahkan sesuatu kesalahan.