Malaysia Dateline

Abraj dan TH Plantation: Fitnah terhadap usaha selamatkan Tabung Haji

Fitnah terhadap Tabung Haji bertujuan untuk menidakkan kejayaan Pakatan Harapan yang berjaya menyelamatkan kewangan Tabung Haji dari terus merosot.

Kejayaan ini sangat penting kerana usaha PH berjaya memelihara kepentingan institusi umat Islam dan keberlangsungannya secara jangka panjang.

Kelompok yang bertujuan politik sempit telah menjadikan TH sebagai sasaran untuk merendahkan usaha selamatkan institusi umat Islam, walaupun berbagai penjelasan telah dibuat.

Sebaik gambaran yang layak diberikan kepada kelompok ini ialah seperti perumpamaan Melayu “BODOH TAK BOLEH DIAJAR, PANDAI TAK BOLEH DIIKUT”

Isu penjualan saham Abraj telahpun dimaklumkan oleh TH tanpa menyembunyikan apa-apa fakta penjualan pada 30 Jun 2020, malangnya apa yang disembunyikan oleh kelompok yang membawa fitnah dan kebencian ialah kepada siapa penjualan Abraj dibuat dan apakah terma perjanjian dalam jual beli ini?

Abraj diambil oleh rakan niaga TH sendiri iaitu Amanah Raya yang juga merupakan GLC kepentingan kerajaan.

Apa yang disensasikan sebagai nilainya yang dijual sebanyak RM100,000 sahaja adalah PEMBOHONGAN kerana penjualan tersebut dipersetujui oleh pihak pembeli untuk mengambil alih tanggungan syarikat termasuk bayaran balik pembiayaan bank yang berjumlah RM192 juta.

Dua fakta yang disembunyikan berniat JAHAT penulis, iaitu tidak disebut siapa pembelinya sedangkan pihak Amanah Raya sebuah GLC adalah rakan kongsi TH sebagai pembeli.

Kedua, perjanjian penjualan antara TH dan pembeli ialah, pembeli akan ambil alih tanggungan hutang syarikat bernilai RM192juta.

Hakikatnya sesuatu penjualan dikira baik jika pihak yang menjual akan bebas dari tanggungan hutang dan sekaligus mengurangkan beban kosnya.

Siapa yang melelong dan berkonspirasi? Ataukah pemfitnah melelong maruah satu penipuan untuk menyebar kebencian sesama umat Islam?

TABUNG HAJI PLANTATIONS

Tentang THP, ia adalah anak syarikat bawah instrumen perladangan. Semua sedia maklum THP secara agresif tanpa satu proses pengurusan risiko aset yang berhemah secara agresif telah membeli berbagai aset perladangan untuk meluaskan perniagaannya sekitar 2012-2014 iaitu dari 15,000 ha kepada 100,000 ha.

Namun pada tahun 2015, THP dibebani hutang dan kos pengurusan yang tinggi mengakibatkan ia terpaksa jual anak syarikatnya TH Bakti dengan hanya RM16.3 juta, seterusnya 2016 THP menjual Gemas pada RM154 juta.

Bebanan hutang THP sudahpun berlaku sebelum pengurusan baru ambil alih lagi. Kenapa ketika dijual pada masa itu tidak menjadi bahan fitnah?

Isu THP yang diwarisi hari ini ialah tanggungan kos hutang dari pelaburan yang tidak berhemah sebelumnya. Jika pengurusan hari ini tidak melakukan sesuatu MEMULIHKAN THP ia turut menjejaskan kepentingan TH induk dan sekaligus kepada pendeposit.

Jualan atau pelepasan aset adalah atas keperluan menstabilkan syarikat, mengurangkan beban hutang(warisan dulu) dan menjana untung lebih baik melalui ladang-ladang yang tidak bermasalah.

Tidak timbul isu umat Islam hilang aset perladangan kerana memegang sesuatu yang rugi akan menjejaskan keseluruhan syarikat dan kepentingan TH induk.

Adalah sesuatu pembohongan apabila penulis sebuah blog mengatakan THP hanya tinggal 24,043 hektar tanah perladangan sahaja sedangkan kenyataan CEOnya Muzmi Mohamed dalam majalah Bussiness bulan Januari 24, 2020, menyebut bahawa keluasan yang masih ada setelah penjualan sahamnya kepada Tomaco Plantation bernilai RM170 juta ialah 94,426.08 hektar.

Semua pembohongan ini tidak lain melainkan menimbulkan kebencian terhadap saya dan merendahkan kejayaan selama 22 bulan PH menyelamatkan TH.

Mereka sakit hati melihat kesungguhan saya dan pengurusan TH yang sungguh dedikasi dan prihatin kepada institusi unggul umat Islam ini.

Saya tertanya-tanya, apakah sikap Menteri Agama hari ini dan Timbalannya untuk bersikap jujur supaya mereka juga bersama saya menyatakan yang BENAR apa yang berlaku di sebalik kejayaan kami meletakkan TH pada landasannya yang betul hari ini.

————————————–
Penulis adalah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang juga Naib Presiden AMANAH dan Ahli Parlimen Parit Buntar.