Abu Kassim dilantik Ketua Pengarah GIACC

Abu Kassim dilantik Ketua Pengarah GIACC

Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang akan diketuai Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai ketua pengarahnya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pusat itu akan melaporkan terus kepada beliau bagi membolehkan usaha menyelamatkan negara daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan segera.

Jelas beliau, selain daripada menasihati, merancang, menyelaras, memantau, menilai dan melapor semua perkara berkaitan dengan governans, integriti dan anti rasuah, GIACC bertanggungjawab kepada hal yang berkaitan hak asasi manusia bagi pihak kerajaan.

“Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) akan digubal bagi membolehkan isu-isu governans, integriti dan anti rasuah ditangani secara menyeluruh.

“NACP kelak akan menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang sememangnya telah tiba masa untuk disemak semula.

“Selain itu, satu dasar bersepadu sebagai arahan Perdana Menteri akan dikeluarkan segera kepada semua Unit Integriti di setiap kementerian, jabatan, dan agensi sebagai hala tuju negara yang diselaraskan oleh GIACC,” katanya seperti dilapor MG.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hari ini.

Mahathir menambah, GIACC akan menjadi badan bebas yang akan dikoordinasi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan komited untuk membebaskan negara daripada masalah rasuah dengan melaksanakan 21 atau 35 peratus daripada 60 janji dalam manifesto Pakatan Harapan.

Tegas beliau, bagi merealisasikan komitmen itu, Kabinet telah membuat keputusan agar Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan  yang telah lama tidak berfungsi diaktifkan semula dengan pindaan nama JKKMAR.

CATEGORIES
TAGS