Abu Kasim tidak pernah pohon jadi ahli, kata Amanah Kedah

Abu Kasim tidak pernah pohon jadi ahli, kata Amanah Kedah

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah sentiasa bersikap lapang dada dan membenarkan pentasnya digunakan oleh semua pihak yang memperjuangkan Islah dan pembaharuan.

Pengarah Komunikasinya Ridzwan Abu Bakar berkata, kehadiran Datuk Abu Kasim bekas pengerusi tetap Pas pusat di pentas ceramah parti Amanah, semata-mata untuk menyatakan komitmen dan keazaman beliau untuk bersama perjuangan rakyat bagi menyelamatkan negara Malaysia.

“Ustaz Datuk Abu Kasim tidak pernah memohon menjadi ahli Amanah.

“Beliau pernah menyertai beberapa program anjuran Amanah Kedah, khususnya di kawasan Jerlun. Bahkan beliau pernah menganjurkan majlis mahabbah dan santai petang bersama (Penasihat Umum Amanah) ustaz Ahmad Awang.

“Isi kandungan ceramah beliau ialah melahirkan rasa ‘cemuih’ beliau terhadap krisis dan juga adab dalam parti Pas yang makin terhakis.

“Beliau juga menyatakan komitmen dan keazaman untuk bersama perjuangan rakyat bagi menyelamatkan negara Malaysia,” ujarnya dalama satu kenyataan hari ini.

Ridzwan mengulas mengenai panggilan dan mesej telefon bimbit yang diterimanya sejak akhir-akhir ini yang inginkan pengesahan sama ada benar Ustaz Abu Kasim mengisytiharkan diri keluar Amanah dan menyertai semula Pas.

Ini ekoran gambar yang menjadi tular di media sosial memaparkan beliau sedang minum semeja dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi dilapor menziarahi Abu Kasim di rumahnya tatkala menghadiri program Pas di Kedah.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Amanah sentiasa bersikap terbuka untuk setiap orang menyatakan prinsipnya dan kami sesekali tidak akan mengamalkan budaya melabel dan mentakfirkan sesiapa.

“Semoga Allah kurniakan kesihatan yang terbaik untuk Ustaz Datuk Abu Kasim Abdullah,” katanya.

TAGS