Malaysia Dateline

Abu mayat Chin Peng: Dendam berdarah Ali masih membara

Kesengsaraan ketika memburu dan adakalanya diburu pengganas komunis tetap segar di dalam ingatannya.

Berkorban meninggalkan anak-anak dan isteri serta keluarga tercinta terpaksa dipendam meski hati membuak untuk menemani insan tersayang setiap saat dan ketika.

Tetapi nun jauh di dasar hutan belantara,kudrat yang diiringi dengan semangat berkorban demi negara tetap disemai tinggi walaupun nyawa dipertaruhkan.

Detik sekitar 1980,sesungguhnya tidak akan pernah luput diingatan dan sanubarinya apabila bekas anggota Renjer ‘Platun UCIS’ Ali Hamit hampir tertewas dek serangan bertali arus pengganas komunis ketika itu.

Ali Hamid Ali ketika berkhidmat sebagai anggota Renjer ‘Platun UCIS’

Di Hutan Simpan Cemor, Perak menjadi saksi betapa nyawa dan darah pejuang anggota keselamatan menjadi pertaharuhan demi mnyingkirkan agenda pengganas komunis bertapak di bumi Malaysia pada masa itu.

Memulakan bicara, Ali yang berusia 66 tahun berasal dari Kampung Senari, Petrajaya Kuching berkata, ketakutan penduduk dan masyarakat di seluruh negara kepada pengganas komunis amat ketara sekali terutamanya penduduk di kampung-kampung.

Katanya,pihak komunis mensasarkan rumah-rumah penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman dalam meneruskan misi perjuangan mereka.

“Saya masih ingat lagi iaitu dalam tahun 1980 di Hutan Simpan Cemor di Perak yang mana selepas 19 hari bertungkus-lumus mengesan jejak musuh, akhir kami bertembung dengan mereka(komunis).

“Rakan setugas Koperal Nasir selaku peninjau satu telah ditembak di bahagian perut oleh pihak musuh. Begitu juga dengan Kanang yang turut cedera parah selepas ditembak dari arah belakang semasa menyelamat Nasir.

“Saya selaku peninjau keenam cuba memberi bantuan di samping rakan pejuang yang lebih kurang 28 orang dalam platun elit memberi tentangan kepada musuh yang dianggarkan melebihi 30 orang.

“Alhamdulilah…berbekalkan semangat juang tinggi, kami akhirnya mampu membunuh enam pengganas dalam kejadian tembak-menembak itu, ” luah beliau yang seakan-akan kelihatan sebak apabila cuba mengingati satu persatu peristiwa dilalui.

Ali yang sejak kecil sememangnya menaruh impian menjadi askar mula berkhidmat pada 1973 dengan usia seawal 20 tahun.

Jelas dengan semangat darah muda yang dimiliki, beliau tetap sanggup meninggalkan kampung halaman di Sarawak semata-mata mahu berbakti kepada negara tercinta.

Meski jauh menabur kudrat dan khidmat di Tanah Semenanjung Melayu, namun ia bukanlah ‘peluntur’ semangat kepada dirinya.

Malah, Ali begitu sangat teruja apabila dipilih sebagai anggota elit yang turut dianggotai Kanang dalam Platun ‘Special Squad’ yang turut dikenali sebagai Platun UCIS iaitu himpunan seramai 30 anggota yang dipilih secara ketat.

Menyambung ceritanya, pada 1 Jun 1979 dalam operasi yang dinamakan ‘Opp Setia 878’ Platun UCIS yang diketuai Kanang berjaya mengesan jejak musuh di Hutan Simpan Belum,Perak.

“Lebih kurang jam 4 petang sebaik isyarat diterima, anggota Renjer Platun UCIS terus menggempur musuh dalam satu serangan hendap sehingga pihak lawan berundur.

“Dalam pertempuran itu, seramai enam orang ahli bintang tiga(komunis) berjaya ditembak manakala yang lain meloloskan diri ketika insiden tembak -menembak itu.

“Paling menarik, kami telah berjaya menembak Komander Kelima komunis iaitu Nam Yatt yang merupakan antara orang kuat Chin Peng dan dia juga diketahui seorang pakar dalam serangan gorilla di hutan,” katanya.

Baca:  Keganasan Ching Ping tidak dimaafkan

Gambar kenangan bersama rakan-rakan seperjuangan dalam pasukan Renjer ‘Platun UCIS’.

Tetapi di sebalik kisah tragik itu, beliau sesekali melemparkan senyuman apabila mengenang kembali kisah dirinya dan rakan-rakan yang ‘minum air mayat’ musuh yang mati ditembak selepas seminggu berlaku kejadian tersebut.

Disangkakan hanya lima musuh berjaya ditembak, rupa-rupanya seminggu selepas itu barulah diketahui ada seorang lagi mayat musuh di kawasan sungai.

“Bayangkan hampir seminggu kami menggunakan air di dalam sungai yang terdapat mayat sudah reput.Mayat itu adalah antara musuh yang berjaya ditembak.

“Ketika melakukan ‘clearance’ kami hanya menjumpai lima mayat musuh. Tetapi hampir seminggu barulah kami mengetahui terdapat satu lagi mayat musuh di dalam sungai yang mana airnya kami gunakan sebagai sumber minuman di dalam operasi itu.

“Nasib baik kerana tiada seorang pun yang mengalami sakit-sakit selepas minum air mayat musuh,” ujar beliau lagi sambil tergelak.

Dihujung perbualan,Ali turut mengulas isu pembawaan abu mayat Ketua Komunis Malaya, Chin Peng ke negara ini dengan menyatakan perkara berkenaan amat melukakan hatinya dan seluruh anggota keselamatan yang pernah menentang kekejaman zaman komunis dahulu.

“Dia(Chin Peng) adalah pengganas dan pengkhianat yang ternyata amat kejam. Berapa ramai anggota keselamatan seperti kami yang telah terkorban dan cedera kekal kerana melawan atau menentang kekejamannya itu.

“Kami tidak pernah untuk disanjung tetapi hargailah apa yang kami telah korbankan dalam menegak panji-panji Rukun Negara di negara ini.

“Waima hanya abu mayat dia sekalipun, saya dan rakan-rakan tetap tidak dapat menerimanya. Ini kerana dendam berdarah saya tetap membara terutamanya apabila mengimbas kembali segala perbuatan dan kekejamannya kepada rakyat di negara ini,” ujar Ali mengakhiri pertemuan eksekusif bersama Malaysia Dateline di pejabatnya di Kuching semalam.