Malaysia Dateline

Khairil Nizam Khiruddin

Abu mayat Ching Peng dan bendera bucu lima perbuatan cabul dan cabar, kata Ketua Pemuda Pas

“ABU MAYAT DAN BENDERA: LAGI CABUL DAN CABAR”

 

‘Penyempurnaan’ abu mayat Chin Peng dan bendera bucu lima merupakan tindakan cabul dan cabar yang pastinya didalangi oleh pihak tertentu, kata Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Pusat Ir Khairil Nizam Khairudin.

Beliau berkata, perbuatan sedemikian, dakwanya telah mencabul kedaulatan undang-undang, dan menjadi antara siri mencabar sensitiviti rakyat yang menolak idealogi dan pendekatan ganas diperjuangkan mendiang.

“Tindakan pihak-pihak terbabit membawa masuk abu mayat tersebut juga adalah satu pencerobohan serius yang telah melanggar benteng pertahanan dan wajar diletakkan sebagai pengkhianatan terhadap maruah dan keselamatan Tanah Air ini.

“Sikap tidak setia kepada negara ini tidak harus dipandang enteng kerana ia merisikokan Malaysia kepada musuh,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam turut mempersoalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dakwanya hanya, sekadar beralasan ‘tidak tahu’ yang menunjukkan kelemahan teramat ketara risikan dan maklumat berkaitan oleh kementerian terbabit.

“Apakah ini bakal menjadi satu lagi episod yang akan mengkambinghitamkan penjawat awam terutama pasukan keselamatan negara sebagaimana kes di Kementerian Pertanian?,” soalnya.

Katanya lagi, Negara ini sama sekali tidak mungkin melupakan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah membunuh 11,000 rakyat termasuk tokoh-tokoh penting negara semasa di zaman darurat dahulu.

“Ianya hal yang tidak dapat dimaafkan, setelah pula Chin Peng sepanjang hidupnya tegar tetap mahu meraih kuasa sebagaimana kepercayaan idealogi didukunginya,” ujarnya.

Bahkan beliau turut menyentuh perbuatan sama turut membarah ke lokasi pertandingan sukan apabila bendera Malaysia sekali lagi dijadikan sasaran ditukar bintang 14 bucu kepada lima bucu yang jelas menunjukkan tiadanya kesedaran sivik dan pengetahuan kenegaraan

“Seperti lazim, ia cuba diselesaikan dengan sekadar permohonan maaf.” ujarnya lagi.