Malaysia Dateline

Abu Samah mahu kumpul mata untuk layak ke Tokyo

 Atlet tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan berada di landasan tepat untuk mengumpul lebih banyak mata bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Abu Samah, 34, yang kini berada di ranking ke-63 dunia, berkata beliau masih mempunyai masa untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia bagi membolehkannya layak secara merit ke Tokyo.

“Sebelum ini saya di ranking ke-81 tetapi selepas jelajah kejohanan di Sri Lanka pada bulan lepas di mana saya sertai tiga kejohanan, ranking saya naik ke kedudukan ke-63. Jadi ia tidak mustahil untuk saya capai sasaran itu,” katanya kepada Bernama selepas final kejohanan kelayakan tenis berkerusi roda Piala Dunia Berpasukan, pada Isnin.

Pada kejohanan tersebut di Pusat Tenis Tun Razak di sini, pasukan Malaysia tewas kepada Sri Lanka 2-0 apabila bu Samah kalah kepada Gamini Dissanayake 6-7 (3), 1-6 manakala Mohd Yusshazwan Yusoff disingkirkan oleh Suresh Dharmasena 2-6, 3-6.

Sri Lanka mendapat tempat untuk beraksi ke kejohanan Piala Dunia ITF (Persekutuan Tenis Antarabangsa) 2019 di Israel dari 13 hingga 18 Mei ini.

Abu Samah mengakui kekuatan pasukan lawan sukar dicabar namun beliau gembira dapat mencapai sasaran ke final.

Selepas ini, beliau akan menyertai Terbuka Sabah bermula Rabu hingga Jumaat ini dan Terbuka Labuan mulai Ahad hingga Selasa ini.

Sementara itu, jurulatih tenis berkerusi roda kebangsaan, Mohd Nadir Mohd Ashraf, berkata, walaupun tewas kepada Sri Lanka namun anak didiknya telah menunjukkan satu peningkatan prestasi yang positif.

Katanyai, walaupun pemain negara terpaksa mengikuti siri kejohanan secara berterusan sejak awal tahun ini namun mereka sentiasa bersedia dari segi mental dan kecergasan.

Menurutnym, penyertaan pada kejohanan secara konsisten dapat membantu pemain menguatkan ketahanan mental terutamanya apabila beraksi menentang lawan yang lebih kuat.-BERNAMA