Abu Zahar tegur MP pembangkang buat sidang media di lobi parlimen

Abu Zahar tegur MP pembangkang buat sidang media di lobi parlimen

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini menegur tindakan beberapa Anggota Parlimen pembangkang yang mengadakan sidang media di lobi Parlimen, di sini sewaktu persidangan Dewan Negara berlangsung.

Beliau yang secara kebetulan melalui ruangan berkenaan kemudian mengarahkan sidang media mengenai isu laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, dihentikan.

Mereka yang mengadakan sidang media bersama adalah Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang juga Naib Pengerusi PAC, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Datuk Kamarul Baharin (PKR-Telok Kemang) dan William Leong (PKR-Selayang).

Abu Zahar berkata Ahli Parlimen perlu menghormati persidangan Dewan Negara yang sedang berlangsung.

“Saya tidak mahu persidangan Dewan Negara diganggu. Ini Dewan Negara bukan Dewan Rakyat,” katanya kepada Ahli Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, Pua meneruskan sidang media itu di luar lobi Parlimen.

PAC yang dianggotai Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat, pada 7 April lalu.

TAGS