AC Mizal rupanya sudah ada cucu, bekas isteri berjaya didik dua anak jadi cikgu

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas isteri kepada pengacara terkenal, Datuk AC Mizal iaitu Shafnie Zainudin kembali mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.

Hal ini berikutan wanita berusia 47 tahun itu berkongsi khabar gembira bahawa anaknya, Shabil Iman telah selamat mendirikan rumah tangga pada 11 November lalu.

Mengundang perbincangan hangat, Shafnie turut memuat naik gambar dan video memaparkan kemeriahan majlis perkahwinan anak keduanya bersama AC Mizal itu.

Video kongsian Shafnie yang turut merakamkan suasana sayu dalam majlis itu kemudian dimuat naik semula di laman TikTok oleh beberapa pengguna platform berkenaan.

Tular di media sosial, rata-rata pengguna TikTok mula membuat spekulasi sendiri bahawa tangisannya dan kedua anak AC itu berpunca dari ketidakhadiran pengacara tersebut.

Menyedari hal itu, Shafnie tampil menyangkal dakwaan tersebut dengan mengatakan tangisan anaknya itu berpunca dari rasa sayu selepas bergelar suami, lapor Mstar.

“Biasalah suasana majlis pernikahan, emosi seorang ibu dan anak memang akan sebak dan sayu. Sebab nak melangkah ke alam kehidupan barukan? Tapi ia lebih kepada tangisan bahagia. 

“Anak pula sebak kerana dia paling rapat dengan Akak. Harap benda lepas jangan diungkit sebab masing-masing ada kehidupan sendiri, begitu juga anak-anak,” katanya memetik laporan mStar.

Mengulas lanjut, Shafnie yang juga bekas model dan pengacara itu memaklumkan kedua-dua anaknya kini berkerja dalam bidang pendidikan sebagai guru sekolah.

Shafnie juga sudah mempunyai seorang cucu daripada anak sulungnya dengan AC Mizal, Muhammad Shafiq Iman yang melangsungkan perkahwinan pada tahun lalu.

@lindangimin

Anak Dato Ac Mizal nikah.. semoga ada yang terbaik.. #acmizal #syabil #datoacmizal #ayah

♬ Ayah – Seventeen

Sementara itu, Shafnie yang sudah lama meninggalkan dunia hiburan itu mengakui agak terkejut setelah mengetahui kisahnya kini kembali menjadi bualan orang ramai.

Wanita itu bagaimanapun memohon agar orang ramai terutamanya ‘netizen’ untuk berhenti mengungkit kisah lama kerana masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.

“Saya sebenarnya hairan juga apabila tiba-tiba ramai yang nak tahu fasal kehidupan kami. Saya bukan selebriti dan hanya orang biasa sahaja.

“Saya agak terkejut ramai yang buat akaun (media sosial) palsu. Tetapi, biasalah netizen. Ramai juga yang doakan baik-baik untuk kami.” Ulasnya lagi.

Menjawab persoalan mengenai kesihatan dirinya, Shafnie yang menghidap leukemia memberitahu dia masih menerima rawatan dan penyakitnya itu sudah berunsur pulih.

Terdahulu, Shafnie dan AC Mizal pernah mendirikan rumah tangga pada 24 Jun 1995 lalu sebelum membuat keputusan untuk bercerai pada 17 Oktober 2001.

Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, mereka memiliki dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Shafiq Iman, 27 dan Shabil Iman yang kini berusia 24 tahun.

Shafnie kemudian kembali berkahwin pada 2014 dan memiliki anak perempuan yang berusia lapan tahun sementara AC Mizal pula bahagia dengan isterinya, Datin Emylia Rosnaida.

Baca juga: Iqbal tak boleh hidup jika tiada RM50,000 sebulan