Malaysia Dateline

Acara DSA 2020 April ini dijangka lebih hebat, kata Mohamad

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yakin acara Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2020) yang dijadual berlangsung pada 20-23 April ini, akan mendapat sambutan lebih hebat.

Beliau berkata, walaupun dunia sedang berdepan ancaman wabak Covid-19 ketika ini, Malaysia berharap keadaan akan kembali pulih dalam sedikit masa lagi dan tidak menjejaskan penganjuran DSA 2020 tersebut.

“Kita masih ada tempoh selama dua bulan lagi. Setakat ini terdapat pertambahan dari segi bilangan penyertaan pempamer,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pertunjukan Udara Singapura 2020 (SA2020) di sini, hari ini.

DSA 2020 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, dikenali antara acara pertahanan terkemuka di dunia dengan kapasiti ruang pameran seluas lebih 45,000 meter persegi dan disertai kira-kira 1,500 syarikat dari 60 negara.

Acara yang masuk edisi ke-17 penganjurannya, akan turut diadakan serentak dengan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia 2020 (NATSEC).

Bersandarkan pengalaman 30 tahun dalam pameran pertahanan dan keselamatan, acara ini akan mengetengahkan beberapa teknologi terkini global seperti sistem, perkakasan dan perang elektronik yang ditawarkan di pasaran.

Sementara itu pada acara SA2020 di republik ini, Mohamad mengambil peluang mengunjungi Pavilion Malaysia kendalian Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) selain Pavilion Belarus serta ruang pameran Inonesia, PT Dirgantara.

Turut menyertai beliau pada lawatan itu adalah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Muez Abd Aziz.

Selain itu, Mohamad juga sempat melihat dari dekat pesawat tentera Airbus A400M di Pameran Statik Pesawat SA2020.

Beliau berkata, pesawat jenis sama juga pernah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi misi kemanusiaan ke Palu, Indonesia dan Cox’s Bazar yang merupakan penempatan pelarian Rohingya di Bangladesh.– BERNAMA