Malaysia Dateline

Acara sosial musim wabak Covid-19: Masih harap kerajaan majoriti Melayu bantu Melayu?

Nampakkah anda siapa di belakang mereka semua ini?

Yang untung dalam perebutan kuasa dalam kalangan elit politik negara ini, para cukonglah tentunya. Yang bergaduh tidak sudah, kitalah.

Yang hidup-hidup kena tipu dengan slogan ‘ketuanan Melayu’ dan penglipurlara kononnya ‘Islam terancam’ dan ‘segalanya salah DAP’ itu, kita jugalah.

Kononnya, terpaksa ambil alih kerajaan di pertengahan penggal demi ‘menyelamatkan’ rakyat dan negara, tetapi hakikatnya? Cukong juga yang terselamat.

Dan setelah kerajaan ‘diselamatkan’ kini, apakah nasib bangsa Melayu telah berubah? Tidak.

Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) sudah tidak kedengaran lagi. Kerajaan bukan lagi boleh dipanggil kerajaan Melayu Islam. Hudud dan RUU355 bukan juga menjadi keutamaan.

Sebaliknya, Tuhan takdirkan berlaku keadaan jauh lebih memburuk dari itu. Ekonomi merosot teruk. Ringgit terus lemah. Minyak dunia terus menjunam hingga mengesankan sumber utama pendapatan negara. Covid-19 terus menghantui.

Ada mereka para cukong dan memanda menteri yang masuk ikut atap kerajaan ini hairan nasib marhaen seperti kita?

Arahan pentadbiran kerajaan yang melarang himpunan sosial seperti gambar ini pun mereka langgar, masih harap kerajaan majoriti Melayu ini benar-benar bantu orang Melayu?

Mimpi sajalah!

* Penulis ialah Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional