ACG akan bina kilang pembuatan silinder LPG pertama di Malaysia

ACG akan bina kilang pembuatan silinder LPG pertama di Malaysia

Astana City Group Sdn Bhd (ACG) akan membina kilang membuat silinder komposit gas petroleum cecair (LPG) pertama di Malaysia yang akan menjadi hab pengeluaran untuk dieksport ke Asia.

Pengarah Urusan Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata pembinaan kilang bernilai RM100 juta itu dijangka bermula Mei ini.

“Pembinaan kilang itu akan menjadi fasa pertama syarikat bagi tempoh lima tahun ini.

“Bagi fasa kedua pula, ACG akan membangunkan hab penyimpanan LPG berkapasiti 60,000 tan metrik sehingga 180,000 tan metrik di Melaka bagi memenuhi rancangan jangka panjang syarikat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran produk silinder komposit LPG 14kg di sini hari ini.

Nik Mohd Fareez berkata produk baharu itu akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk jenis silinder LPG yang ingin digunakan.

Produk tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara ACGAS dengan syarikat dari Korea Selatan, Hyundai BS&E Co. Ltd.

Katanya, ACG merupakan operator ketujuh yang akan terlibat dalam pemasaran LPG ke Malaysia dan syarikat tersebut telah diberikan subsidi pengendalian LPG oleh Kementerian Kewangan pada November 2018.

“Bagi mencapai akses pasaran tempatan dan global, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM1.2 bilion untuk tempoh lima tahun telah diadakan,” katanya.

Teknologi Silinder Komposit LPG yang diperkenalkan itu menawarkan banyak faedah kepada pengguna.

“Penekanan kepada aspek keselamatan pengguna adalah ciri yang paling diutamakan. Ia juga mempunyai ciri keselamatan yang membantu mengelakkan penyelewengan subsidi dan penyeludupan silinder LPG,” katanya.

Dengan keistimewaan tiada risiko meletup, ringan dan mudah diangkat, pengguna juga boleh melihat isi padu kandungan LPG dan ciri-ciri tambahan lain dengan lebih baik.

— BERNAMA