Malaysia Dateline

ACM akan tandatangan perjanjian penyelidikan dengan institusi pendidikan tempatan

Aerospace Composites Malaysia (ACM) akan menandatangani perjanjian penyelidikan dengan empat institusi pendidikan pada Selasa selain membuat pelaburan dalam teknologi pengeluaran automatik di kilangnya.

Pengarah Urusan ACM, Jose Garza, berkata kerjasama dengan institusi pendidikan tempatan itu akan menyediakan latihan yang berharga untuk pekerjanya dan mempromosikan tenaga kerja masa depan yang kukuh dan berkelayakan.

“Kami akan terus membuat pelaburan strategik dalam bidang teknologi pembuatan bagi melaksanakan pengembangan pada masa depan, memperbaiki prestasi dan memenuhi permintaan pelanggan pada masa ini selain pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ACM akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Institut Latihan Perindustrian Jitra (ILP Jitra) dan Institut Kemahiran Belia Negara Jitra (IKBN Jitra).

Melalui MoU itu, ACM akan bekerjasama dengan institusi berkenaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, khidmat nasihat, latihan dan pembangunan kemahiran untuk pelajar serta pensyarah selain pertukaran pengetahuan dan kemahiran melalui program Sistem Latihan Dual Nasional

Institusi latihan perindustrian seperti ILP Jitra dan IKBN Jitra akan menyediakan latihan teknikal kepada pekerja ACM.

“Selepas tamat latihan, pekerja akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3. ILP Jitra menjadi penyedia latihan rasmi untuk ACM bagi menyediakan latihan industri dan penempatan kerja untuk pelajar ILP Jitra,” kata Garza.

Melalui perjanjian itu juga, ACM akan mendapat sistem semburan cat automatik baharu daripada UniMAP dan akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan, pengajaran selain berkongsi kemahiran serta bahan akademik dengan universiti berkenaan.

Sistem cat automatik itu yang boleh mengecat panel rata, menggantikan proses mengecat manual, memperbaiki kapasiti mengecat dengan meningkatkan pengeluaran harian sebanyak 67 peratus dan menjimatkan 20 peratus penggunaan bahan harian.

Alat berkenaan juga adalah pelaburan terbaharu teknologi pembuatan yang sedang dibuat ACM.

Pelaburan lain termasuk mesin menghalus, pemotongan teras dan mesin CNC 5 paksi serta mesin autoklaf keenam yang akan memulakan operasi pada tahun 2019.

Ditubuhkan pada 1998, ACM adalah usahasama antara syarikat Amerika Syarikat Boeing dan Hexcel, yang juga adalah peneraju dunia dalam membekalkan produk komposit dan prapemasangan untuk industri aeroangkasa global.

ACM menyokong program Pesawat Udara Komersial Boeing.

Setiap pesawat udara komersial dihasilkan Boeing didatangkan dengan komponen yang dibuat di Malaysia.

— BERNAMA