Malaysia Dateline

ACM sasar hasil lebih tinggi, meningkat kepada AS$65 juta tahun ini

Pembekal produk komposit aeroangkasa, Aerospace Composites Malaysia (ACM) Sdn Bhd, menyasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan perniagaan kukuh pada tahun ini dengan meraih hasil lebih tinggi antara US$61 juta dan US$65 juta berbanding US$60 juta dicatatkan pada 2018.

Pengarah Urusan Jose Garza berkata sasaran itu akan disokong oleh pasaran aeroangkasa global yang diunjurkan kukuh, peningkatan nilai perolehan kontrak ACM, jumlah pengeluaran lebih tinggi berdasarkan peningkatan kadar pelanggan, ditambah dengan pengenalan produk-produk baharu.

Bagi tempoh dua tahun lepas, ACM telah memperoleh sembilan kontrak tambahan, masing-masing bagi tempoh lima hingga tujuh tahun.

Beliau berkata pada ketika ini,  ACM mempunyai kerja terjamin dari 2021 hingga 2024 dan syarikat sedang berunding bagi pelanjutan lebih banyak kontrak daripada Boeing.

“Ketika ini, pasaran global memerlukan 47,000 kapal terbang bagi tempoh 20 tahun akan datang dan kurang separuh daripadanya telah dijual.

“ACM terikat dengan permintaan itu dan kami mempunyai kontrak bagi tempoh dari  2021 hingga 2024. Kami berharap untuk melanjutkan beberapa daripada kontrak itu ke tahun 2026 atau  2028,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan pencapaian alat ganti ke-1.5 juta ACM di sini, hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah. Turut hadir Raja Muda Kedah Tengku Sharafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

ACM adalah syarikat usaha sama (JV) 50:50 antara pembuat kapal terbang Amerika Syarikat (AS) Boeing dan Hexcel, syarikat pengeluar bahan industri awam Amerika.

Pada 2018, ACM menyerahkan 150,000 komponen, iaitu panel kawalan penerbangan bersaiz kecil hingga sederhana di bahagian sayap pesawat.

Jose berkata ACM kini mengeluarkan kira-kira 13,000 alat ganti sebulan dan menyasarkan untuk meningkatkan kadar pertumbuhan komponen bagi 737 dan 777x dan 787 di masa depan.

Mengenai perbelanjaan modal (capex), katanya ACM merancang mengurangkannya pada tahun ini dan berhasrat melaburkannya bagi menggantikan mesin kawalan berangka (CNC) komputernya dan membawa masuk lebih banyak teknologi baharu bagi  automasi.

Ditanya mengenai rancangan untuk menyenaraikan ACM di Bursa Malaysia, Jose berkata tiada rancangan untuk itu pada ketika ini berikutan ACM dan Boeing telah bersetuju untuk mengekalkan entiti JV sebelum ini.

“Malaysia menawarkan banyak kelebihan kepada kami dari segi kos daya saing, prestasi baik daripada aspek kualiti dan masa penghantaran.

“Kami cuba memanfaatkan sepenuhnya faedah itu dengan meningkatkan jumlah kerja di Malaysia.

“Menguruskan syarikat persendirian membolehkan kami untuk lebih fleksibel dalam melaksanakan jenis kerja, dan perbincangan dan pelaburan yang kami mahu lakukan,” jelasnya.

ACM mengendalikan  36 program komponen pesawat bagi Boeing, menghantar alat kawalan penerbangan bagi semua program komersial Boeing. termasuk Next-Generation 737, 737 MAX, 747-8, 767, 777, 777X dan 787 Dreamliner.

Ia turut memberikan sokongan secara langsung kepada pelanggan lainnya, Hexcel Corporation, Boeing Tianjin Composites, Boeing Aerostructures Australia dan Spirit Aerosystems.

— BERNAMA