Ada 59,000 penyokong PH Terengganu, kata Hasbie

Ada 59,000 penyokong PH Terengganu, kata Hasbie

Hasbie Muda

Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengumpul 9.52 peratus undi popular iaitu 59,834 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Ketua Pemudanya, Hasbie Muda.

Menurut bekas calon PH bagi kerusi Dun Paka itu, langkah sulung PH yang bertanding atas logo PKR di negeri berkenaan tidaklah teruk ketika prestasi BN banyak merosot.

“Undi popular BN di Terengganu dalam PRU-14 merosot sebanyak 11.5 peratus iaitu daripada 51.7 peratus kepada 40.19 peratus manakala undi popular Pas pula bertambah sebanyak 1.07 peratus iaitu daripada 48 peratus kepada 49.07 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hasbie yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu berpendapat BN negeri itu kecundang kerana kehilangan banyak undi.

“Penolakan terhadap kepemimpinan Najib oleh ahli, penyokong dan atas pagar cenderung Umno menjadi punca utama kekalahan BN di negeri bertuah ini.

“Secara kasarnya, BN hilang 30 ribu (undi), Pas bertambah 43 ribu manakala PH mengumpul 59 ribu untuk percubaan kali pertamanya di negeri Terengganu.

“Rupanya dalam diam ada 59 ribu penyokong PH di negeri Terengganu. Not bad!” dipetik daripada kenyataannya di Facebook.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu, Pas mengulangi kemenangan 1999 di Terengganu apabila berjaya membentuk kerajaan baharu selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pas Terengganu turut meraih kemenangan di enam daripada lapan kerusi Parlimen manakala PH tidak memperoleh sebarang kerusi.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3