Malaysia Dateline

‘Ada agamawan popular cuba hasut Melayu benci gagasan Rahmatan Lil Alamin’

Wujud agamawan tersohor cuba menghasut masyarakat Melayu supaya membenci gagasan Rahmatan Lil Alamin, kata Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Ali Muda.

Menurutnya, gejala tersebut menyebabkan pihak kerajaan terpaksa memberi penjelasan walaupun gagasan tersebut telah dipersetujui dan diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin.

“Insan dan alam perlu disantuni dengan rahmah, kerana itu tugas dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah SWT.

“Namun, jika ada pihak yang cuba menghasut rakyat supaya membenci dan meremehkan gagasan Rahmah yang kita ingin bawa, kita terpaksa menjawab dan menerangkan kemungkinan sebab-sebab mereka menentang.

“Kerana ramai yang keliru dan tertanya-tanya kenapa ada pihak-pihak agamawan popular yang cuba menghasut rakyat khususnya orang Melayu supaya membenci dan memperlekehkan gagasan Rahmatan Lil Alamin walaupun ia sudah melalui semua prosedur yang perlu dan diluluskan oleh Kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Jelas Ustaz Ali lagi, Rahmatan Lil Alamin menjadi dasar negara ini untuk menuju ke sebuah model negara rahmah yang dihormati oleh dunia setelah mematuhi semua prosedur pentadbiran Islam peringkat tertinggi .

Kelmarin, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan kertas pelaksanaan dasar pentadbiran baru Islam melalui pendekatan Rahmah.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan pada 25 Oktober lalu menyebut kertas dasar tersebut mengutamakan pendekatan Rahmatan Lil Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni untuk melahirkan masyarakat dan kehidupan lebih harmoni serta sejahtera dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan kaum di negara ini.