Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menegaskan beliau tidak melanggar sebarang polisi mengenai surat sokongan memandangkan Exco tanah Kuala Lumpur tidak berada di bawah kekuasaannya semasa mencadangkan agar projek pembangunan bercampur yang merangkumi unit rumah mampu milik diluluskan untuk pemaju.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berpendapat seolah-olah ada agenda politik dalam usaha membangkitkan ‘bukan isu’ dan menggambarkannya dengan pandangan negatif.
“Saya memang menyokong idea untuk banyak rumah mampu milik. Ideanya adalah bahawa dalam lima tahun cadangannya adalah menggunakan tanah ini dan memberikan sekurang-kurangnya 50 peratus rumah mampu milik. Jumlah itu, dalam kes ini, adalah 54 peratus.
“Ini sejalan dengan visi Kementerian Wilayah Persekutuan. Syarikat yang dimaksudkan pada awalnya dianugerahkan penggunaan tanah tersebut pada tahun 2017 tetapi kemudian dibatalkan.
“Ketika saya melihat cadangan DBKL untuk menjadikannya taman asuhan kanak-kanak, saya berpendapat bahawa rumah mampu milik lebih diperlukan, ” kata Khalid, lapor Malaysiakini.
Kelmarin, Khalid dalam kenyataan menjelaskan kelulusan tender yang dimohon sebuah syarikat pemaju swasta adalah permohonan untuk mendapatkan sebuah plot tanah Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan bercampur.
Menurutnya, hanya selepas mendapat surat rayuan kedua daripada syarikat sama, barulah pihaknya memohon Exco Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan tender.