Ada alasan mengapa Najib boleh menang PRU14, menurut Reuters

Ada alasan mengapa Najib boleh menang PRU14, menurut Reuters

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) pimpinannya, mempunyai banyak alasan untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei nanti untuk mengetepikan segala dakwaan skandal rasuah melibatkan berbilion ringgit ke atas beliau.

Menurut laporan Reuters, terdapat beberapa alasan yang boleh memungkinkan Najib dan partinya memenangi PRU14.

Pertama, kata laporan itu, BN tidak perlu menang undi popular.

Pada PRU13 yang lalu, BN di bawah pimpinan Najib gagal memenangi undi popular dan hanya mendapat 47.3 peratus undi. Tetapi disebabkan sistem parlimen “first-past-the-post” dan persempadanan semula dibuat, ia masih berupaya menang dengan majoriti kerusi di parlimen.

Kedua, jelas Reuters, perubahan sempadan kawasan pilihan raya.

Penghujung Mac lalu, parlimen telah meluluskan persempadan semula kawasan pilihan raya yang baharu biarpun terdapat tuduhan “gerrymandering” daripada pembangkang.

Persempadanan semula tersebut yang berkuatkuasa pada PRU14 ini memberikan banyak keuntungan kepada Najib dan partinya kerana mereka mendapat banyak sokongan kawasan luar bandar berbanding di kawasan bandar.

30 peratus pengundi yang tinggal di kawasan luar bandar menguasai lebih separuh kerusi di parlimen.

Berikutnya, pembangkang masih bimbang terhadap Mahathir.

Pembangkang masih berhempas pulas untuk membina barisan yang bersepadu. Mahathir, 92 cuba mewujudkan keadaan tersebut dengan menjadi pengerusi Pakatan Harapan, namun terdapat ramai dalam kalangan pembangkang yang masih meragui beliau disebabkan serangan yang beliau lakukan ke atas institusi pembangkang sewaktu menjadi pemimpin negara.

Ia juga ditambah dengan musuh utama Najib, Anwar Ibrahim kini masih berada dalam penjara atas tuduhan liwat.

Parti Islam akan memecahkan undi

Parti Islam SeMalaysia (Pas) yang dahulunya sebahagian daripada pakatan pembangkang, kini telah berpecah dan akan bertanding lebih banyak kerusi sendirian pada PRU14 ini. Ini bermakna undi pembangkang akan pecah dan memberikan peluang kepada Najib untuk menang.

Meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar

Kelulusan Akta Antiberita Tidak benar akan digunakan untuk menyerang pembangkang dalam tempoh kempen. Akta tersebut mempunyai tafsiran yang sangat luas dan mengenakan hukuman yang sangat berat.

Memanfaatkan pertumbuhan ekonomi

Ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan yang robust. Bank Negara mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.5 hingga 5.6 peratus dalam 2018 lebih tinggi daripada sasaran ketika Najib membentang belanjawan negara Oktober tahun lalu.

Politik wang dan naungan

Minggu lalu, Najib mengumumkan untuk menaikkan gaji kakitangan awam yang merupakan pengakalan sokongan utama bagi BN.

Janji-janji pilihan raya

BN telah menaburkan pelbagai janji untuk memikat undi penyokong-penyokong tradisinya termasuk menaikkan gaji minimum, dan meningkatkan kemudahan tunai yang disasarkan kepada golongan etnik Melayu. Beliau juga berjanji akan menghapuskan hutang peneroka Felda dan mencipta tiga juta pekerjaan baharu.

CATEGORIES