Malaysia Dateline

Ada berderau darah, luruh jantung lihat gambar hitam putih Presiden Pas

Coretan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan mengenai Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundang kejutan warga maya.

Rata-rata penyokong Pas terutamanya mempersoalkan kewajaran Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu memuat naik gambar hitam putih Abdul Hadi di Facebook hari ini.

Nasrudin dalam hantarannya bertajuk “Guruku: Ujian ke atasmu melelahkan kami” antara lain menyatakan dadanya berdebar kencang sejurus menerima berita Abdul Hadi dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN).

Bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut berkata, melewati usia 74 tahun Abdul Hadi yang digelar Pas sebagai “Tuan Guru” sering diuji dengan kesihatan yang tidak menentu.

Dalam masa sama, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri berkenaan, kata Nasrudin, berkejaran pula dengan jadual yang padat dan beban kepimpinan yang berat.

“Ayahanda Tuan Guru memang sangat dikenali sebagai insan yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dan murabbi ummah.

“Kita yang masih muda dan sihat ini pun kelelahan mengejar jadual aktiviti rutinnya. Bagaimanalah beliau memapah tubuh yang dimamah usia untuk menjulang panji perjuangan Islam di bumi tercinta ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, ramai menganggap Nasrudin tidak wajar memuat naik foto hitam putih seolah-olah Abdul Hadi sudah meninggal dunia.

“Berderau darah tengok posting ni ustaz. Jangan buat begini lagi ustaz. Cari gambar lain hok ade warna.

“Serius jantung macam nak luruh tadi. Allahurabbi. Mohon kesembuhan buat murabbi kami,” kata Abu Aqil.

Nada sama juga disuarakan Mohd Yusof yang menyoal, “Kenapa coretan macam (Abdul Hadi) dah tiada (meninggal dunia)? Dia ada lagilah di IJN.”

Bukan sedikit juga yang bimbang kehilangan Abdul Hadi yang terkenal dengan kata-kata tajam terhadap Umno menerusi Amanat Haji Hadi berusia 40 tahun itu.

“Gementar hati. Sangat takut kehilangannya (Abdul Hadi) walau tahu sampai masa dia tetap akan pergi,” kata Che Wan Zaimah.

Malam kelmarin, Abdul Hadi dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dari Hospital Putrajaya selepas mengadu agak sukar untuk bernafas.