Ada Deklarasi Rakyat sokong Mahathir? soal Khalid Samad

Ada Deklarasi Rakyat sokong Mahathir? soal Khalid Samad

Deklarasi Rakyat sama sekali tidak menyatakan sokongan terhadap Mahathir, tegas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Menurutnya, sejumlah 37 perkara dalam deklarasi yang termeterai pada Mac lalu itu juga tidak menafikan kezaliman terhadap Anwar Ibrahim.

“Ada (Deklarasi Rakyat) kata sokong Mahathir? Ada kata tolak Anwar? Adakah kita tak setuju dengan mana-mana item itu.

“Saya tak jumpa walau satu item (Deklarasi Rakyat) yang saya tak setuju,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam Debat Perdana: Mana Pergi Rakyat? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam ini.

Sementara itu, ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin menegaskan Deklarasi Rakyat gagal membezakan antara simptom dengan barah sebagai akibat.

“Sebahagian besar (deklarasi) tentang 1MDB padahal itu adalah simptom. Sebenarnya simptom atau barah yang perlu diubati?” soal ahli seumur hidup PKR itu.Debat turut menyaksikan pertikaman lidah antara Chegubard dan Khairuddin tetapi masih dalam keadaan terkawal

Beliau yang dikenali sebagai Chegubard turut menganggap Pakatan Harapan wajar terlebih dahulu menyelesaikan pelbagai isu termasuk pemakaian satu logo.

“Di Universiti Malaya (dalam satu forum) baru-baru ini, kita boleh lihat Mahathir tidak pernah mengakui pilihan raya kita ada masalah,” tambahnya lagi.

Debat kali pertama membahaskan Deklarasi Rakyat anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ini turut menampilkan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan dan pemimpin gerakan Asalkan Bukan Umno (Abu), Harris Fatillah Mohamed Ibrahim sebagai ahli panel di pihak yang anti deklarasi selain Chegubard.

Sementara itu, Khalid di pihak pro deklarasi turut disertai bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.

TAGS