Ada Duta RAHMAH hentam peribadi menteri agama, luah Ustaz Ahmad Awang

Ada Duta RAHMAH hentam peribadi menteri agama, luah Ustaz Ahmad Awang

Pelantikan Duta RAHMAH pada Mei lalu menunjukkan ketegasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang menyantuni semua kaum dalam Malaysia untuk mendekati Islam.

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata, seramai 300 Duta RAHMAH yang dilantik awal tahun ini, walau bagaimanapun dilihat pasif dalam memainkan peranan menyebar gagasan yang diperkenal kerajaan.

Beliau berkata, sememangnya wujud beberapa Duta RAHMAH yang gagal berperanan dalam membawa agenda Rahmatan Lil Alamin, selain masih ada yang menghentam kerajaan termasuk Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Saya baru dapat maklumat mengenai beberapa Duta RAHMAH yang dilantik bertugas sebagai penjawat awam kerajaan, yang akhirnya mereka masih menghentam kerajaan dan Dr Mujahid.

“Beberapa Duta RAHMAH yang dilantik ini bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej di bawah seliaan kerajaan. Tenaga pengajarnya mungkin 80 peratus adalah penyokong Pas. Jadi segelintir dari mereka ini sebar (dakyah) kepada pelajar untuk menghentam kerajaan.

“Mereka juga hentam peribadi menteri agama kita sendiri. Saya rasa inilah kelemahan kita. Kita kena ada orang yang memantau dan melakukan pengawasan di situ untuk mengetahui perkara yang berlaku di peringkat akar umbi,” katanya dipetik Mingguan Amanah terbaharu Bil. 177.

Ustaz Ahmad berkata konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan hari ini ada juga diseleweng sehingga wujudnya ‘Rahmatan lil kafirin’ disebabkan kegagalan Duta RAHMAH yang dilantik dalam memainkan peranan mereka.

Tambah membantutkan pergerakan gagasan berkenaan, Ustaz Ahmad berkata, faktor kebebasan penceramah Pas yang menguasai masjid-masjid juga dirasakan punca Rahmatan Lil Alamin dipandang serong.

Ini kerana katanya, sehingga ke hari ini masjid-masjid masih dikuasai oleh penceramah yang hampir kesemuanya adalah penyokong Pas ditambah dengan tiadanya pemantauan terhadap isi ceramah mereka.

“Di negeri diperintah PH, saya diberi maklumat di mana hampir sebahagian atau sepertiga masjid di Kedah, program agamanya masih dikawal oleh orang Pas.

“Inilah kelemahan kita. Masjid dikawal oleh Pas dan kita tak pantau, itu yang wujud tanggapan serong,” katanya.

Beliau turut berkata, pada pertengahan bulan lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan peraturan yang melarang pegawai masjid dan surau untuk berpolitik di dalam dua institusi umat Islam itu.

“Mereka ini bila bercakap dan berkuliah condong untuk selitkan (hal politik). Walaupun sekarang mereka kurang bercakap politik dalam masjid, tapi oleh kerana mereka kawal masjid, mereka guna cara yang susah kita nak kesan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Ahmad menegaskan agar kesemua Exco Agama di bawah enam negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dipanggil menghadiri program yang dapat memberi gambaran jelas tentang gagasan Rahmatan Lil Alamin.

“Saya belum pernah tahu sama ada Exco-Exco ini diberi betul-betul kefahaman bagaimana mahu menyerapkan gagasan Rahmatan ini kesemua masjid di negeri masing-masing.

“Exco ini pulak nanti apabila sudah mendapat pencerahan, mereka perlu bertindak dan panggil pula seluruh negeri pimpinan dari tiga parti untuk memahami hal ini.

“Duta RAHMAH juga sepatutnya perlu betul-betul memainkan peranan dan kena ada pergerakan konsisten yang menyebarkan konsep Rahmatan ini,” ujarnya.

Malah, beliau turut menyarankan agar satu badan penasihat ditubuhkan di bawah Kementerian Agama yang terdiri dari mereka berpengalaman bagi membantunya menjayakan gagasan yang dibawa.

“Memang beliau sudah pergi jelajah ke setiap kementerian untuk menerangkan tentang konsep gagasan ini. Tapi sebabkan dia seorang, kurang nampak kesan tu,” tambahnya lagi.